Pages

Wednesday, August 18, 2010

Ramadhanku...1981-1982

Lagi teringatkan kisah di bulan Ramadhan. Aku sudah membayangkan anak-anak bila mereka dewasa nanti, mereka takkan ada kenangan-kenangan indah sepertimana yang aku telah lalui dulu. Iyalah, sama macam aku, aku juga tidak akan merasa apa yang pernah mak ayah aku alami ketika mereka kecil dulu. Tapi sekurang-kurangnya kemanisan kenangan zaman kanak-kanak ibu bapa aku, membuatkan aku langsung tidak menyesal menjadi kanak-kanak. Aku juga ada pengalaman hebat.

Hari cuti, pagi-pagi dah bersiap dengan aktiviti, sama ada yang dirancang proper atau baru saja terlintas semasa dalam perjalanan balik dari kedai Siti-mengusha mercun das yang 24 das. Huh, kalaula dapat menggenggam dan memiliki mercun idaman semua orang itu, perghh tahap riak dan bangga dia, memang tak hengat. Tapi setakat yang aku ingat, aku dapat 'miliki' mercun tu bila orang dah habis bakar, lepas tu buang merata, hah ambik la berapa batang ko nak. Ataupun bila ayah aku beli sebatang yang paling sikit das dia, lepas tu kena pegang sekali sorang tiap-tiap adik beradik. Dapatlah aku rasakan ledakan 2 das kot, tak cool langsung.

Semalam hujan, pergi kutip kulat sisir (cendawan sisir) di kebun getah baru tebang Ayah Teh Lias memang menarik. Kalau kutip kulat tak boleh puasa yangyok, takkan nak mamah kulat tu hidup-hidup. Termakan ladybird nanti baru tahu. Siapa cepat, memang boleh mendatangkan hasil yang banyak. Seperti biasa, akulah selalu menjadi champion. Sebakul sepuluh sen. Jenuh jugalah nak mendapatkan sebakul, tupun dah berapa kali tipu sambil keruk sekali dengan kulit pokok. Kuku, jangan cakapla. Mengalahkan kuku Nang Nak, nasib baik bila dah dewasa ni jari aku jadi semakin runcing macam buluh runcing dan sang suami pula tak sabar-sabar nak sarung cincin kawin.

Pergi kedai Haji Deris (satu-satunya penjual ikan kat kampung masa tu), kira jual harga borong la, dapatlah 30 atau 40 sen. Itupun selepas berjejes-jejes peluh mengutip, otakpun rasa macam tinggal separuh kena sedut dek panas mentari. Susah nak mampus cari duit, tapi merasa jugalah aku menjadi wholeseller-jual direct pada peniaga kecil macam Haji Deris. Wahh kayanya aku mengalahkan Mydin.

Tengahari bila mak sibuk dengan juadah untuk jualan, aku cuba juga cari jalan untuk mengelat. Tapi dari kecik aku memang anak yang baik, takkan aku tegar membiarkan mak dengan kakak je sibuk di dapur. Tenang jiwa bila dapat tengok butir-butir cendol cepluss jatuh dalam air. Haruman kuah laksam, wangi pulut ketupat palas. Magisnya sentuhan air tangan mak, fuhhh...

Waktu petang di bulan puasa adalah kemuncak sebuah kehidupan. senyap-senyap dan sorok-sorok pakai spender dua lapis, pergi sungai. Ahh sungguh lazatnya rasa air sungai. Kadang-kadang Uza bawak nasi lauk telur ke sungai, kami berpiknik atas batu.

Aktiviti kat sungai memang indie habis. Berendam macam kuba, main asah batu merah jadikan cat kuku,cari udang atau main masak-masak daun kapal terbang. Dah kecut semua anggota di badan, sulit ataupun tidak, salinla baju balik pokok ara, campak spender basah, tukar dengan spender kering dah siap untuk aktiviti seterusnya. Silap-silap selipar hanyut sebelah.

Rambut berseringai tak bersikat, kening bersememeh dengan telur udang-kononnya boleh mencantikkan kening, padahal hanyir pait! Yang jadi mangsa udang sedang bunting ditangkap, korek ambik telur, lepaskan balik. Tak berhati perut!.

Balik rumah dengan muka macam pelarian Afrika. Penat. Lapar. Konon!

1 comments:

Azhar Omar said...

Hadoi ... sakit perut aku baca kisah ko ni. Mmg nostalgia la. Keep it up ;)

Powered By Blogger