Pages

Monday, August 15, 2011

Kasut Raya dan 1001 Kisahnya

Dalam banyak-banyak keperluan dan kehendak untuk menyambut hari raya, yang paling membuatkan aku tersengih simpul adalah kasut raya. Hahah, intro macam karangan darjah dua habis. Stokin, cekak rambut, ubat uban, seluar spen, beg tangan raya tak adalah aku rasa nak ingat sangat. Setiap kali kedatangan Syawal, pasti kisah kasut ada dalam penceritaan aku dalam episod khas Raya & Mama untuk anak-anak dan Raya & Cikda untuk anak-anak sedara aku. Dan mereka akan memberikan komen yang sama, " ala, dah dengar dah cerita ni..."

Eh takkan kau tak gembira bila mak bapak belikan kasut warna merah yang ada bau sedap. Bau ala-ala kedai Bata Loh Pin Pooi. Bau dia lebih mahal dari bau selipar tat sin. Arghh tak sabar . Merah tapak coklat untuk aku, coklat muda untuk Cikgu Sains. Nanti bila dipakai di pagi raya, gadis manis sopan pula berbaju kurung, ohhh sungguh sedap mata orang tua memandang. Kain kena lipat tinggi-tinggi, kalau tidak nanti Kak Eni, Kak Uza, Miza, Kamali, Ayub, Nana tak nampak pula kasut cantik aku.

Setiap kali balik sekolah, mesti kelebet kasut, bergaya keliling rumah. Mungkin kanak-kanak sekecil aku belum pandai mensyukuri nikmat Tuhan, kalau tidak pasti aku dah bersujud syukur masa tu jugak. Terima kasih Ya Tuhan.

*********

De, de, bangun!, Suara Cikgu Sains kejut aku.
Nak sahur ke? aku gesek-gesek mata.
belum... Jom terai kasut raya...


Gila kakak orang, gila lagi kakak aku.

Tapi biasalah...langit tidak selalu cerah, mendung boleh terpa bila-bila tidak boleh disanggah. Jiwa yang menunggu saat pagi raya sekali-sekali meruntun juga. Kasut merah cantik, bau sedap, akhirnya rabak. Belum sempat melangkah di pagi yang dinanti-nanti. Raya tetap jadi. Ayah berbunyi juga sambil menjahitnya dengan tali warna coklat muda.

Dan penyakit gila-gila ini boleh diwarisi rupanya. Sampai giliran Cichik yang mengada-mengada juga, ayah terpaksa buatkan selipar bertapakkan kayu gasing kerna hajat di hatinya mahukan kasut tinggi. Jadilah satu ciptaan hebat juga, selisut agaknya.

Gila adik orang, gila lagi adik aku.

Monday, August 8, 2011

Kau Pula Tinggalkan Aku 2

Laa episod Si Cina tua tak abis lagi. Sudah jatuh ditimpa tangga. Kaki sakit, dihempap tangga. Terkena taik ayam pula. Dahla taik ayam candu. (peribahasa tu dah diberi bahasa oleh arwah ayah aku, jadi panjang lebih daripada biasa) Kalau di kampung aku, taik ayam candu tu dipanggil taik ayam muney. Tak sedap langsung nama, rasa, lagilah tak sedap agaknya. Entah, aku pernah try rasa taik idung je, taik ayam tak ada la teringin untuk mencuba. Mungkin pemberi namanya tu seorang India yang dalam perjalanan ke kuil glamer di kampung sebelah.

Semalam berbekal tenaga bihun goreng masa sahur, aku start kereta. Pakai kurang lawa sebab suami tidak di sisi untuk menyaksi. Tahun ni aku dalam mode biar lambat asal beli juga baru raya. Untuk anak-anak dan bapa anak-anak saja. Percayalah aku tidak mahu berbaju baru tahun ni. Aku akan pakai mana-mana baju yang belum ada dalam gambar.

Sampai di rumah nombor 16, aku tengok jalan tutup. Laa khemah atuk cina mati semalam belum bukak. Kereta bersepah-sepah tepi jalan, tak masuk kereta-kereta kontraktor yang tak habis-habis buat renovation kat situ. Dug dag jantung aku. Nak reverse, jalan tu menurun bukit. Tak pasal-pasal van aku terbalik ke, terlanggar pagar jiran ke. Buatnya terbalik? Van aku rosak, baju aku terkoyak? Susahlah nanti, lagipun aku pakai baju yang aku baru jahit. Belum sempat tunjuk kat Atin lagi.

So, aku u turn ajelah kat rumah ada tangki air besar tu. Lenguh tangan aku memusing stereng. Laki ada entah ke mana di saat si isteri perlukan. Kata lautan api sanggup direnangi. Huh!

Kruuuuukkkkk..krakkkkkkk...trrrraaa....krakkkkkk...

Hehe. Dah lama aku tak langgar kereta orang. Kali terakhir macam tu jugak, tergesel aje, tapi hasilnya cukup memuaskan. Panjang beb calar kat van aku. Kalaulah itu luka di hati, aii lebih kurang sepurnama jugalah meratap hiba. Calar kat Hilux dia, macam seminggu berduka lara. Hihi. Oh Chah,kamu jangan panik!

Aku pandang keliling, tak ada sapa nampak aku. Hajat nak langgar lari saja, tapi mengenangkan CCTV yang 'kat atas' nun sedang merakam semua pergerakan aku, aku terus bertaubat.

Aku cari-cari orang tak ada, terus aku ambik resit Billion, aku tulis nombor HP dan nombor rumah aku. Selit kat wiper.

Hati dah sedikit punah. Aku cabut kelopak bunga raya la kiranya. Nak pergi-tak pergi-nak pergi-tak pergi-nak pergi. Arghh, kelopak ke lima kata suruh pergi, aku pergilah juga. Lagipun acara membeli dan melilau biasanya boleh hilangkan stress dan masalah. Kadang-kadang nama suamipun aku lupa sementara, inikan pula kes kereta tergesel.

Aduhh, awal pula si Pahlawan tu telefon hari ni. Nak ajak buka puasa berdua-duaan pula. Kalau dia tahu apa yang berlaku lima minit tadi, langsung cancel agaknya. Bila aku cerita, senyap je suara di hujung talian sana. Erm..

Sesampai di tempat yang dituju dan bakal memulakan misi, si tuan kereta call.
"hello, u Aeshah?, u hit my car rite, this is Mr Tan,"
Err,,err,, yes,,yes, soooo sorry, I'm outside, this evening I come to see u, can, u re frm which unit?
12, itu yang ada funeral tu...
aisehh!, pity u Mr Tan, sorry again, will see u ok!

Alaaa...dia anak cina tua yang mati tu! Semalam dia dah abis suku juta, buatnya ari ni dia claim suku juta juga untuk kereta dia tu, mamposs!!





Sunday, August 7, 2011

Kau Hadir,Kau Pula Tinggalkan Aku

Plan berbuka puasa di rumah Cikgu Sains tidak terlaksana. Atok Una masuk hospital. Bila umur dah kerap menyambut hari jadi, sakit-sakitpun kerap menjengah juga. Melengkar di rumah sajalah keluarga 5 beranak ini menunggu waktu berbuka..

Cina belakang rumah mati. Si pahlawan aku beritahu dia nampak lori Nirwana, mungkin acara pengkebumian akan dilakukan dalam waktu terdekat. Cina tua mati akan bawa banyak ong kepada keluarga anak yang menjaga. Sebab itulah kaum tersebut berebut-rebut mahu menjaga ibu bapa dan doakan biar mereka mati cepat-cepat. Agaknya lah. Aku tuduh saja. Tapi mungkin juga betul. Madam Cheong beritahu maklumat tu.

Nampak dari cara orang-orang yang memberikan penghormatan terakhir kepada si mati, boleh tahan. Komuniti aku tinggal ni kecil, parking memang cukup-cukup untuk residents sahaja, jadi bila kereta yang datang berderet-deret sampai ke taman sebelah dan siap parking di kawasan surau, aku ingatkan ada Ustaz Azhar datang beri ceramah.

Madam Cheong bagitau lagi, pakej yang diambil untuk tanam si tua tu suku juta RM. Mak aii...mungkin yang ada aircond, di rimbunan pohon teduh berbunga wangi. Pakej astro mungkin full pakej termasuk pakej Warna sekali, sebab duduk sensorang nanti mungkin dia perlukan show SY untuk hiburkan hati.

Nuhaa tanya aku kenapa orang Cina bodoh sembah benda yang mereka buat sendiri. Jawapan aku, sehabis ilmiah sehabis islamic.

Si tua itu telahpun bersemadi di Nirwana, mungkin anak-anaknya masih sempat diberi hidayah dan mencari kebenaran. Amiiin.

**********

Pukul 4 petang, bergegas aku dan si pahlawan dewasa ke hospital pula. Panggilan dari seseorang kami terima mencemaskan aku. Satu nyawa akan hadir ke dunia bila-bila masa dari sekarang. Mengimbau pengalaman aku, aku menanti detik-detik kelahiran anak-anak dengan cemas dan teruja. Kebetulan jika dikira dari bulan Islam aku melahirkan Ariffku yang tercinta pada 7 Ramadhan. Hari ini. Namun aku dapat rasakan wanita itu menanti kelahiran zuriatnya dengan sedih dan pilu. Tanpa lelaki yang boleh dipanggil suami. Aku terpalit pilu sama.

Dia telah berdosa, si lelaki jahanam itu juga telah membuat cemar. Kau menghilang, aku yang menanggung derita! Kisah drama telah menjadi realiti, depan mata aku. Setakat ini aku dan si pahlawan ini sajalah tempat dia mengadu. Doa aku juga agar keluarganya dapat menerima. Dengan doa yang sama juga agar ini menjadi pendinding kepada semua. Aku khabarkan kisah ini kepada Nuhaa, dia bakal menjadi remaja dan wanita. Tidak lancar pertuturan aku dek kerna susunan ayat yang perlu seimbang dan aku tidak tersilap penerangan.

Aku teringin untuk menjaga bayi yang tidak berdosa itu, tapi banyak benda yang aku dan si pahlawan perlu pertimbangkan. Aku tidak cukup hebat untuk menempuh hari mendatang dengan menangani 'masalah' yang mungkin rahmat. Aku bimbang ia sumbangan yang sambang dari aku. Mungkin ada keluarga yang kepingin mendakap bayi sekian lama lebih layak untuk menjaga nyawa itu, walaupun aku masih mengharapkan wanita ini berubah hati dan akan memeluk bayi itu seeratnya dan memberitahu dunia, ya aku ibu yang berdosa, tetapi aku akan cuci bersih dosa itu dan anak, aku akan sanggup mati kerana kamu!

Tuesday, August 2, 2011

Cahaya Ramadhan

Dua hari setengah Ramadhan berlalu. Masih belum cukup pengisian yang sepatutnya dari aku.Bila tiba Ramadhan perasaan aku jadi sedikit lain. Rasa mau jadi anak yang manja-manja dengan mak; setiap jam ada menu permintaan bertukar-tukar. Teringin juga jadi the real mak yang manjakan anak-anak dengan menu-menu yang mereka hajatkan pula.

Ini yang payah dan ada isu sikit. Bila fikirkan anak-anak, muka aku yang sikit lagi nak hilang wrinkle ni terus jadi keruh. Sesak dada.

Orang yang tau kisah anak-anak aku dan tabiat pemakanan mereka, akan beri komen yang sama; “senangla kerja ko, tak ada la susah-susah pikir nak masak untuk anak-anak”. Alaaa, aku teringin la beb kena buli dek anak-anak macam tu.

Huh, normal-manusia. Yang tak dapat itulah yang dicita-citakan sangat. Bila dah merasa, tak kuasa nak melayanlah pula.

Ari ni masak mee kari menu Nuhaa. Esok nasik ayam Hainan permintaan Ariff. Lusa tulat tubing tonggeng, Nuhaa yang menang sebab dia kakak sulung yang garang. Ahad depan pulak baru boleh aku buat talam ubi untuk Ariff. Kan bersusun-susun menu yang menanti untuk aku sediakan. Itulah kerja mak. Ini tidak, dari mula aku kawin, sampai sekarang, kebanyakan hidangan disediakan; ‘table for two’ saja. Bunyi memang la romantik, tapi tak thrill langsung!.

Petang ni macam biasa, Ariff akan berbuka dengan 2 ketul nugget ayam tempura, Nuhaa pula , argh! spaghetti sup ayam kosong kena tapis jangan sampai seurat benangpun kelihatan. Aku dan bapa itu? Terus jadi tak selera nak makan. Sebab itulah lelemak di badan aku tinggal selapis je lagi nak hilang, confirm raya tahun ni saiz aku jadi 32-32-32!*

*mungkin darab dua..huhu..
Powered By Blogger