Pages

Monday, November 30, 2009

Dua Pagi Di Jabatan Imigresen Kajang

Sudah tiba masanya untuk aku renew passport.Walaupun baru digunakan beberapa muka surat, tapi tempohnya bakal berakhir beberapa bulan lagi. Memang membazir. Bukan aku tak ada cita-cita nak jadi macam Im-Duta Air Asia tu, tapi terasa macam tak business woman pulak kalau asyik naik Air Asia je. Jadi muka surat kosong dalam passport aku tu aku cadang nak bagi Nabiha buat lukis ‘rumah Abu’.

Panjang gila barisan. Walaupun belum pukul 8.00 pagi. Aku dah panas dah ni. Dah la bau hapak lif tak hilang-hilang lagi. Melekat kat baju. Rasa macam nak main chess pun ada. Mungkin masa tu otak aku tengah aktif berfikir, jadi sesuai sangatla nak main chess.

Aku baca bunting yang ceritanya pasal kiosk untuk renew passport. Lalu pulak seorang yang dah tak berapa jejaka memakai tag nama A.Rahman. Dari uniformnya aku confirmed dia bukan driver bas GBS. Dia adalah guard kat situ. Aku terusla tanya dengan nada yang mak aiii sopannya “ tu boleh guna untuk renew, tak payah beratur la yer?”
A.Rahman jawab ‘’ye la, ha pegi-pegi, sapa tau guna mesin, baik buat kat sana, tak payah beratur lagi’’. sambil sibuk mengagih-agihkan borang pada pemohon baru.

Memang aku peghak betul bila tau ada kiosk untuk renew passport. Senang yang amat jadinya. Riaknya aku bila urusan renewal boleh setel dalam tempoh tak sampai 2 minit. Itupun aku yang tergagap-gagap nak guna, kalau hari-hari aku guna, rasanya lebih dari 14 passport aku boleh setelkan dalam 2 minit tu. Tetiba aku rasa nak buat bisnes renewkan passport kat kiosk tu la.

****
Begitu manis berbaju pink kusam dengan tudung satu rona yang dibeli kat Semua House, aku datang lagi pagi ni untuk collection pula. Pukul tujuh suku aku dah terpacak menunggu sambil menghirup bau lif yang kepam tu. Aku tak berani nak ‘berjudi’ walaupun janji Imigresen dalam resit tu passport akan siap selepas 2 jam. Dah ada improvement perkhidmatan kaunter kat Malaysia sekarang. Nampak lagi hero bernama A.Rahman tengah busy seperti semalam.Baju pun rasanya baju semalam. Kali ni aku dapat beratur depan sekali. Dapat nombor satu! Dah lama aku tak rasakan kehebatan dapat nombor satu ni.

Sebelah aku ada India pegang passport dan borang untuk renew. Haha..ni mesti tak tau nak guna kiosk. Masakla ko brader menunggu kat dalam tu nanti.

Aku seluk handbag cari business card. Tapi business card yang bertajuk ‘’membekalkan perkhidmatan memperbaharui passport’’ belum ada. Akupun belum daftar perniagaan kat ROC lagi, kalau tidak for sure mamat India tu jadi first customer aku.

Aku berjalan ke van sambil berkira-kira berapa aku nak caj untuk satu perkhidmatan renew passport tu nanti.

Sunday, November 29, 2009

Berkorban Apa Saja

Ini juga entri emosional.

Untuk rekod, beberapa hari lepas adalah Hari Raya Aidil Adha. Menyelongkar sejarah, ada anak yang dikorbankan demi kecintaan pada Pencipta. Adakah pengorbanan itu berbayar? Cukup ikhlaskah pengorbanan itu?

Aku tidak layak untuk persoalkan kisah pengorbanan itu. Kerana ianya kemuncak segala pengorbanan. Apa yang aku patut persoalkan adalah pengorbanan aku. Rasanya aku pernah berkorban. Berbayarkah ia? Cukup ikhlaskah aku?

Antara jahitan perca-perca kain yang diisi dengan kekabu yang penuh bijinya dan dipanggil bantal. Atau bantal mahal yang lembut gebu disaluti sutera wangi, kononnya dibuat dari himpunan bulu angsa terpilih. Jika bantal kekabu berbiji dan bantal sutera mewah yang perlu aku pilih untuk meleraikan sebuah ikatan persahabatan, aku lebih rela tidur berbantalkan lengan. Aku tak sanggup memilih mana-mana bantal yang bisa mengubah status kawan kepada lawan. Heyy! Aku orang yang bertahi lalat di pipi, seorang yang pengasih dan penyayang tau! Aku teringin juga untuk menguji sejauh mana kesanggupan aku untuk berkorban demi sahabat.

Apa pengorbanan yang aku sanggup lakukan untuk seorang mak? Aku masih memikirkan perkara ini. Aku sedikit membentak bila mak ‘paksa’ aku untuk mengusahakan tanah aku yang luasnya cuma sekangkang Annur Wafiy. Aku mempunyai perancangan yang ‘rapi’ untuk membiarkan tanah itu bersendirian tanpa diganggu-gugat dengan pembangunan demi pembangunan. Biarlah koloni-koloni semut bermaharajalela tanpa gangguan. Mungkin sang gajah juga berminat untuk menumpang teduh di tanah secoet tu. Aku turutkan juga kehendak mak dengan hati yang pada mulanya separa ikhlas.

Itu baru pengorbanan dua ribu ringgit Malaysia. Tak sampai dua jam aku boleh habiskan jumlah itu, malah lebih tanpa secalit perasaan gundah.
Bagaimana jika mak menuntut agar aku menghabiskan sepenuh masa untuk membasuh berak keringnya (maaf), hancing kencing tatkala dia tidak berdaya kerana ujian Tuhan yang mahu dia terlantar sakit? Kalau lebih dahsyat dari itu? Aku jadi gusar. Sedangkan sekarangpun aku masih on-off , lupa, tak dan atau apa-apalah alasan aku untuk membeli ubat sakit lututnya atau susu Anlene coklatnya. Cuma aku takkan ragu memetik butang transfer fund jika berapa-berapa yang mak mintak (walaupun rekod mak minta duit adalah sifar). Aku sanggup berkorban wang ringgit sahaja? Aku impikan anak yang baik-baik tapi adakah aku cukup baik untuk mak?

Aku masih belum terlambat. Belum tertinggal apa-apa. Itu cuma kemungkinan yang merisaukan aku. Si tanggang atau Malin Kundang bersepah ada di mana-mana. Aku takut jadi sebahagian dari statistik itu.

Aku jadi rindu kat mak!

Saturday, November 21, 2009

Mana Satu Ni...

Aku belek-belek beg mekap pemberian biras. Warna asal cekelat gelap, tapi dah jadi cekelat susu sebab bercampur dengan warna habuk. Aku rasa kalaula beg tu betul-betul aku letak alat mekap..ishh..ishh..kalau aku tak jadi Nurul Shukor, jangan panggil aku Chah.

Tapi beg tu aku guna untuk letak riben pelbagai warna. Adala 14 ratus kaler semuanya. Darab dengan harga seketul, dekat-dekat 14 riban aku spent untuk RE ni. Tapi apa yang aku dapat?

Adala projek kecil-kecilan aku buat. Biasala aku, tengok orang ada, akupun nak ada jugak. Tau orang reti, akupun nak belajar sama. Dasar dengki.

Hari ni aku lalui dengan perasaan tak dan-dan. Tak reti-reti nak susun jadual. Nak sudahkan langsir, teringat nak restart menyulam riben. Ujan-ujan ni teringat jugak kat kedai Nasik Ulam. Rasa nak selongkar lemari tengok koleksi pinggan pun ada jugak. Puncanya Awang call dari Ostolia, jauh-jauh tu buat abis kredit jer. Macam la banyak duit sangat. Bila dengar cerita Awang, aku dapat bayangkan 'Chah sana' tengah meroyan memilih Noritake ke Corell ke. Dan-dan 'Chah sini' rasa nak jadi orang Ostolia.

Last-last aku duduk bersimpuh menggentel riben. Kalaulah mana-mana sifu riben tengok hasil tenunan aku ni, mau koma 14 hari. Tiada yang tak cantik melainkan yang tak cantik belaka. Aku bengangla jugak. Tapi malasla tunjuk sangat perangai aku yang kaki pukul ni. Abis riben tu aku hempuk-hempuk kan. Aku gigit-gigitkan tanda geram. Nasib aku cepat insaf. Riben yang nyaris aku humban ke lembah hina, aku kutip kembali.

Thursday, November 19, 2009

Satu Titik Permulaan

Aku SEDANG cuba menulis seserius mungkin. Mungkin ada sedikit masalah emosional dalam posting ini.

Beberapa hari lepas, satu keajaiban telah berlaku pada aku. Bukan sebelum ni aku tak percayakan Kun Fa Ya Kun, Kehendak Tuhan, Dia boleh buat apa saja bila dan di mana-manapun. Tapi kali ni ianya benar-benar terjadi. Aku merasainya. Aku gagal buktikan perkara ini tidak berlaku. Bukan setakat depan mata aku, tapi dalam diri aku.

Aku kategorikan diri aku sebagai orang yang biasa-biasa. Aku tidak sehebat perempuan melayu terakhir, walaupun aku masih blur apa kriteria sebenar perempuan melayu terakhir. Jauh sekali menandingi kehebatan seorang Aisyah, walaupun akupun Aeshah juga. Jadi aku akan mengalami pelbagai perasaan jahat yang agak sadis; marah, benci dan juga cemburu.
Tapi Tuhan masih memilih aku untuk menerima kenikmatan itu.

Aku tidak bercadang untuk memberikan tazkirah atau apa jua bentuk ceramah agama. Tetapi aku rasa ingin berkongsi dan memesan sesuatu. Satu perasaan yang sungguh...entah, aku tak dapatkan gambarkan dengan kata-kata. Dengan kata mudah, ianya sangat indah.

Amalan ini baru beberapa kali aku cuba, dan ianya berjaya selepas cubaan kali tiga. Dalam ceramah yang diketuai oleh Dato’ Fadzillah Kamsah minggu lepas, banyak perkara/pesanan beliau yang aku memang dah tau, tapi jarang dan ada yang aku tak praktikkan. Sampai hati aku biarkan hidup aku macam ni kan?. Walaupun aku bukanla orang bebal, aku tunaikan juga kerja aku sebagai hamba Tuhan, tapi kadang-kadang, aku sendiri boleh persoalkan kesempurnaan setiap perkara yang aku kerjakan tadi. Kalaula perjalanan hidup aku ini, aku yang tentukan, memang aku tak ready lagi untuk mati, sebab aku memang akan mati sebagai orang yang sia-sia.

Nabiha demam, dah berhari-hari dia demam, Dah tiga kali juga aku berulang ke klinik dengan harapan ubat tersebut menjadi as sabab untuk Nabiha sembuh dan kembali menjadi dirinya yang sentiasa ‘bertih goreng’ walau ada sedikit garang pada abang dan kakaknya.

Hari sabtu yang memilukan. Aku benar-benar marah pada Tuan Besar, Jijie Arin terkena tempiasnya. Padahal aku tak berhak marah Jijie. Untuk memenuhi tuntutan hobi mereka yang aku rasa bila diceritakan pasti Awang menyokong beribu-ribu peratus. Tuan Besar pergi juga walaupun aku menghalang. Alasan aku kukuh. Aku ingin dia berada temankan aku menghadapi saat-saat suram lantaran Nabiha yang moyok kerana demam tu. Aku memang mengharapkan itu. Tapi tuntutan dan panggilan ikan di tepi pulau-pulau kecil di lombong tinggal di Puchong lebih bermakna pada Tuan Besar buat masa itu.

Demam Nabiha berkurangan malam tu. Dia tidur macam biasa tapi aku tidur berendam air mata. Sebelum tidur aku aku sedikit waras, aku tetap berdoa keselamatan Tuan Besar.Aku cuak sebenarnya. Manalah tau lombong tinggal port memancing mereka turut didiami buaya atau biawak besar, atau apa-apa binatang reptilia yang mungkin boleh membahayakan suamiku. Aku juga memaafkan dia, atas apa jua salah silapnya pada aku. Aku betul-betul ikhlas memaafkan. Aku juga memaafkan orang lain, sesiapa jua yang bukan saja telah merobek hati aku, malah tergamak pula mencurahkan cuka getah ke luka di hati aku. Aku memang betul-betul maksudkannya.

Ahad.

Aku bangun dengan hati yang..sungguh lapang, sangat tenang. Ketenangan yang aku dapat bila mengaji sebaris dua ayat Quran, tak sama. Lapang dada bila tengok muka suami dan anak-anak tercinta , ada bezanya. Tenang yang ini lain. Betul kata Dato’ Fadzillah, minta maaf dan memaafkan itu sebenarnya memudahkan proses penyucian hati. Aku tertunggu-tunggu juga perasaan marah pada Tuan Besar kembali, aku juga cuba bersedia dengan susunan ayat yang pasti mengguris hati Tuan Besar. Tapi tiada, akupun pelik. Takkan aku tak marah. Aku gagal untuk marah walaupun aku memang target nak bermasam muka dengan dia hari ni. Lain jadinya. Tidakkah itu satu perasaan yang indah? Subhanallah..

Bermula hari itu, aku akan ingatkan aku supaya sentiasa memaafkan semua orang sebelum tidur kerana berkemungkinan itu adalah tidurku yang terakhir. Sekiranya kalian rasa kisah aku ini adalah kisah yang agak indah, cubalah amalkan.

Kamu, kamu dan kamu di luar sana, maafkan segala salah silap aku. Jangan bimbang, aku juga dah maafkan kalian.

Monday, November 16, 2009

Asam Pedas Mak Som

Entah kenapa kalau pergi makan kat kedai Makcik Som ni, memang licin pinggan dan terasa macam nak jilat jari kaki. Memandangkan jari kaki yang hanya disabun seminggu sekali, jadi hasrat tu dilupakan. Jilat jari tangan je lah. Nak kata lokasi yang strategik, langsung tidak. Tak ada kupon parking percumapun.

Nak kata sebab kat situ port artis, apalah sangat setakat Sham Visa tu. Sekali-sekala nampak gak Zul Zuhaimy ke nama pelakon yang selalu jadi jahat tu, lepak situ. Sengih diapun sebijik macam sengih dalam drama. Muka, boleh jual la. Ada gak dia pssstt..psstt kat aku, tapi aku buat dekkk je, manalah tau nanti kena gosip pulak nanti. Tapi jauh di sudut hati aku tau dia nak minta sain aku..

Bebudak office aku kata, makan kat sini rasa macam kat rumah. Tapi semenjak aku aktif menjalankan aktiviti 'mengepau' makanan diorang, tak de la sama mana. Bahan mungkin sama, tapi rasa jauh lari. Aku taknak la kutuk kawan-kawan aku lebih-lebih, diorang tu kawan-kawan aku, susah senang nanti aku cari diorang jugak.

Kedai dia sempoi je, buatpun kat rumah. Tukang masaknya, sememangla Makcik Som. Pekerja Sendiri S'ja. 4 Orang Pekerja Sendiri S'ja. Sesuai betul nama dengan tuannya yang Sombong tu. Agaknya sepanjang dia hidup mungkin baru 4 kali dia senyum. Aku tak nak la ambitious sangat. Mungkin baru tiga kali kot. Pertama mesti masa kawin. Yang kedua dan seterusnya, malas aku nak fikirkan, mesti tak tepat punya. Cakap dengan kitapun macam la kita ni dari alam lain, ndak tak ndak je.


Menu dia, bukanla makanan bangsawan pun. Semua ada kat blog Za dan rakan-rakan. Tapi mana datang sedap tu tak tau la. Mungkin Mak Som ni ada pengaruh magis David Blaine kot.

Dalam dok geram tu, tiap-tiap minggu dok ulang makan situ. Kalau Jalaq tau, matila aku.

Dah la mahal. Harga dia, pehhh berani mati betul, tak ada perasaan simpati langsung sesama insan. Rasanya dah banyak kali cakap kat dia yang aku ni anak yatim.

Makan? Bungkus? Mak Som tanya sambil tak pandang. Cakap cepat nak penuh ke separuh, senang kira!.

Mak Aii..terguris hati aku ni tau tak?

Sorang kakak tu (bukan nama sebenar) terkebil-kebil kena marah. Dah la tengah mengandung. Orang mengandung ni sentitip tau? Yati lain la, mengandungpun takde perasaan.

Kak, lain kali nak makan kat sini kena ada kekuatan mental ye...!


Pesanan yang muda kepada yang kurang muda, Senyum la sikit.

Friday, November 13, 2009

De Zuraidah

Dia kawan masa aku sekolah rendah. Kawan sekampung. Sekarangpun dia masih di kampung, menunggu hari-hari yang lebih bersinar, aku rasa. Pada aku masa tu, dia ni orang paling kaya kat kampung, sebab dia bawak seringgit untuk belanja sekolah. Kalau time raya, memang hilang akal siapa yang tak pergi beraya rumah dia., Ah gila sapa tak nak weh, seringgit. Rumah Su Yah orang pertama ada dapur gas tupun dapat tiga posen.. Ni duit seringgit bukan yang biasa, ni duit seringgit emas. 14 kali cium baru masuk poket. Tu pun sekali-sekala goncang-goncang sikit poket, takut jatuh.

Ingat senang nak dapat seringgit kalau time raya, mau berbirat betis kena duri lalang, meredah semak nak join orang bertahlil di kubur. Setiap kubur dapatla dua puluh sen. Ada jugak yang sepuluh sen. Itupun kena pandai bawak diri. Lepas tadahan yang pertama, alih tempat. Tadah lagi sekali. Tektik dia kena tundukkan kepala sampai lutut, angkat tangan tadah tinggi-tinggi, pastikan yang tukang bagi duit tu tak perasan. Abih kubur ni, pindah kubur sana, itupun kalau betul-betul kena timing. Silap-silap, time sampai ke kubur lagi satu, orang dah bungkus tikar.


First time aku rasa ayam goreng kentakipun, dia yang bawak. Walaupun yang dah sejuk gedi. Aku dah lupa reaction aku masa 'menikmati' ayam yang sangat sedap tu. Sudah semestinya aku peghak tahap chimpanzee. Semuanya sebab dia. Dia kerap juga belanja aku jeruk kelubi. Aku tak tau kenapa aku tak kisah berkawan dengan dia. Sedangkan orang lain memang reject terus dia. Nampak sangat aku ni kecik-kecik lagi senang digoda dengan makanan.


Sampai darjah enampun aku masih sekelas dengan dia. [memang ada satu kelas je pun]. Tiap-tiap kali periksa, dia dapat nombor 24, nombor last la tu. Akupun tak pasti kenapa kecik-kecik lagi nasib dia macam tu. Masa darjah 3, dia belum pandai baca. Masa tu mana la tau nak blame kat sistem pendidikan negara. Kalau la aku dulu aku dah 'cerdik' macam aku yang sekarang, taula aku nak 'bahasa' kan sikit orang yang sepatutnya bertanggungjawab untuk settlekan masalah orang sebegini.
Pernah beberapa kali dia pengsan masa tengah PJ. Nasib dia pakai seluar dalam. Aku nampak cikgu cepat-cepat tutup skirt dia. Takut budak lelaki intai kot. Badan dia menggelupur, mulut dia berbuih. Mata dia 'terbuntang' ke atas. Dia ada penyakit sawan. Patutla aku kerap nampak air liur dia meleleh. Ingatkan masa mak dia mengandung tak dapat makan apa yang diidamkan. Tak logik sebab dia orang kaya, mesti boleh beli semua benda. Banyak jugala aku membuat andaian sendiri berkenaan penyakit dia tu. Tapi sudahnya aku tak dapat apa-apa conclusionpun daripada teori-teori ciptaan aku.

Sampai habis darjah enam, dia hanya kenal ABC dan eja nama dia sahaja. Aku rasa itupun dia hafal dan bukannya mengenal konsep. Dia tak masukpun tingkatan satu. Buang duit je pun.

Dia selalu kirim salam dan selalu tanya pasal De, mak kata. [jangan konfius-akupun De jugak] Patutla aku teringat sangat. Dia tengah sakit sekarang, kurus sangat, tambah mak.

Balik raya haji nanti aku kena ziarah dia. Sekurang-kurangnya pengalaman berkawan dengan dia, still menyumbang something pada apa yang aku ada pada hari ini. Pergilah Chah, jangan sampai terlambat.

Monday, November 9, 2009

Cita-cita itu adalah ambition

Hidup kena ada cita-cita. Besar atau kecil, itu cerita lain. Bila dah ada cita-cita, ianya perlu disusuli dengan usaha. Mesti. Sebab bukan mudah nak menggapai cita-cita. Plan nak jadi lain, ‘terjadi’ menda lain. Itu biasa. Tapi jangan lupa, sebenarnya kita ada pilihan, sama ada sedar atau tidak.

Aku pernah bercita-cita nak jadi ‘kerajaan’. Saya yakin betulllll dengan pilihan itu dan aku dah tulispun dalam satu borang yang cikgu suruh isi masa sekolah rendah. Kat muka surat belakang sekali kat borang tu. Kena ada 3 pilihan cita-cita, tapi aku letak satu je. Biasala, ada budak-budak ejek aku. Diorang kata cita-cita aku pelik. Habis tu nak suruh aku sama dengan diorang? Sudahnya aku menangis mengadu kat Ayah. [aku ni memang mengada-ngadakan?]

Peragawati.Jururawat.Polis.Ahli Bomba.Peramugari atau dalam bahasa Awan Danianya - Flight Attendant. ;D

Itu antara cita-cita kawan-kawan aku. Aku rasa mereka itu tak berapa faham tuntutan setiap kerjaya tu. Main hentam tulis je. Takpun tiru kakak atau abang punya cita-cita. Tiru watak-watak dalam TV. Aku tak salahkan diorang. Kampung aku tu tak besar mana. Nak angkat seseorang jadi idola, memang takde choice. Kalau adapun, level-level orang macam ayah aku, tukang gunting rambut merangkap tukang buat gasing dan tukang buat kraf tangan.Tak glamer langsung!

Yang bijak sikit adalah pilih nak jadi macam Mail Amareka. Dia tu orang kampung aku yang pertama dapat belajar kat luar negara. Tapi sampai aku sekolah menengah, dia tak balik-balik. Itu mengundang persepsi yang buruk dan negatif pada orang-orang naive cam aku ni. Lamanya kena belajar!

Aku memang tak bercita-cita nak jadi macam Mail Amareka. Lama sangat kena duduk luar negeri. Buatnya aku terserempak dengan Britney Spears, macam mana aku nak tegur supaya dia tak pakai kain singkat sangat. Pastu biar nyanyi tu sedap sikit. Aku bukannya reti cakap omputeh slang Amareka atau Landen. Mesti kerut-kerut muka dia nak faham cakap aku. Kang buatnya aku asik menangis teringatkan lempeng kelapa istimewa cicah sardin mak aku, manalah aku nak pergi beli kat Landen nun, aku bukannya tau sangat jalan kat sana.

So aku nekad, aku pilih nak jadi kerajaan. Mulia apa jadi kerajaan. Alasan aku? Mak aku kata, baja ni kerajaan bagi. Makteh tok guru ngaji aku kata, anak sawit, racun pokok, benih pokok durian siampun kerajaan bagi. Mak kawan aku kata semua penduduk orang asli kat Jalan Maran tu semua dapat bantuan kerajaan. Wah! Baiknya kerajaan. Banyaknya duit kerajaan. Cita-cita menjadi kerajaan terus tersemat di sanubari. Kukuh.

Apa dah jadi dengan cita-cita aku? makna kerajaanpun aku tak faham, macam mana? Aku baru sadari aku tak minat dah nak jadi ‘kerajaan’. Aku tau ‘kerajaan’ banyak duit, baik, tapi ‘kerajaan’ jugak suka tipu aku.

Walaupun aku gagal capai cita-cita aku tapi aku selesa menjadi aku yang sekarang. Duit aku memang tak sebanyak duit kerajaan, tapi aku mampu juga untuk mensponsor sepokok dua benih dokong untuk kebun comel mak aku. Dan yang penting, aku dah cukup 'kerajaan' di hati mak aku. Betul tak mak?

Thursday, November 5, 2009

Aku memang sedang teringatkan kamu

Ada beberapa nama yang kekal dalam ingatan aku sampai sekarang. Sebab? Aku pernah bersahabat dengan mereka. Mereka pula, aku tak taula sebenarnya mereka anggap aku ni sahabat atau tidak. Takkan la sepanjang persahabatan itu, diorang tak ada langsung rasa meluat kat aku, kan?

Boleh dikatakan 2,3 hari sekali nama mereka ini muncul dalam minda aku. Aku gagal melupuskan nama mereka. Kenapa entah. Tapi, jika usaha aku berjaya menyingkirkan nama dan kisah mereka dari ingatan aku, apakah aku berdepan dengan masalah hilang ingatan? Schizophrenia? Wahh.. dah lancar aku sebut perkataan ni.

SARAH

Nama cantik, orangnya lawa. [Takla sangat]. Agak sensitif dan sedikit lemah lembik. Kalau Sarah ni makanan, dia sesuai jadi cream cheese, lemak tapi sedikit masam dan kelat. Mungkin juga dia buah perah [sila gugel sendiri], keras tapi isinya sedap.

Macam manala dia sanggup berkawan dengan aku yang kurang sopan ni. Mungkin sebab dia tinggal di kejiranan yang haru-biru, jadi dia terpaksa lupakan hasrat untuk mencari kawan yang baik-baik. Tapi hasrat itu semakin hari makin tenggelam kerana manusia kurang sopan ini sebenarnya baik budi dan suci hatinya. Amaran pemilik blog ini ; sila pergi muntah di toilet bowl!

Lepas ujian pemilihan, aku dapat masuk kelas yang paling pandai. Tingkatan 1 Commerce 1. Aku berjalanpun dengan kepala yang tegak dan badan yang keras macam orang yang pakai girdle murah dan tersilap saiz. Itu kelas manusia terpilih tu. Berbaloi la kalau aku nak tanamkan sikap angkuh dan riak.

Sarah duduk depan aku. Sebelah dia, Ma. Ma budak Lubuk Paku, tapi perangai dia tak ada la macam orang lubuk sangat. Aku pulak dapat duduk dengan Engku Zailah. Kulit dia agak kelabu. Walaupun kulit dia kelabu, tapi dia keturunan tengku-tengku. Tak macam aku, aku keturunan ‘Nor’ je. Kalau dia tengah pandang tempat lain, perlahan-lahan aku letak tangan aku sebelah tangan dia. Ohh, dia lagi hitam dari aku rupanya. Syukur!

Sedar tak sedar sampai sekarang aku masih bersahabat dengan Sarah, walaupun pernah bermasam muka, berhari-hari tak bertegur sapa. Dia masih Sarah yang dulu. Apa khabar orang Putarjaya?.

NURUL

Aku respek kat dia sebab dari sekolah asrama penuh, dia sanggup ‘mencemar duli’ tukar ke sekolah orang kebanyakan. Tapi jauh di sudut hati jahat aku kata [memang iya], dia terpaksa tukar ke sekolah aku. Hidup kalau tiada pilihan memang sukar, kan? Lagipun mesti sekolah asrama penuh tu dah berpatah arang dengan dia.
Kesian sekolah aku. Terpaksa terima budak-budak sebegini. Tapi aku gembira berkawan dengan Nurul. Walaupun rambut dia kerinting, tapi dia berjaya juga jadi cikgu dan beranak sampai lima kali. Itukan satu kemajuan namanya? Nanti-nantilah aku balas sms dia.

Dua orang je kawan aku?

Tuesday, November 3, 2009

Apa Ada Pada Nama?

Modus operandi aku tulis entry ni bukanlah sebab apa-apa, tapi masa tu tengah hujan lebat. Kat Tugmanistan mungkin tengah musim bunga. Aku stuck kat office. Boleh je aku berlari masuk kereta. Tapi aku takut masa aku berlari nanti, aku jatuh tergolek yang mungkin mencederakan semula lutut aku yang dah sekenhen ni. Kalau lutut aku rabak balik, macam mana aku nak ke Kamdar temankan áku’ pergi beli langsir. Siapa pulak nak ikut ‘aku’ pergi Jalan TAR. Besarkan masalah aku?

Bimbang juga tetiba mendap pulak lantai bangunan ni dek kerna larian anak rusa nani yang seiras baby gajah ni. Jadi daripada membiarkan beberapa kemungkinan buruk berlaku, baik aku stay dan menulis cerita ini.

Masa aku sekolah rendah dulu aku ada sedikit masalah rendah diri. Masalah dengan nama aku ni. Aku terror mengaji, aku superb dalam pelajaran . Sikit lagi aku nak kalahkan kepandaian Sufiah. Tapi bab ‘meniaga’ dalam internet macam Sufiah, aku tak pandai la. Bukan tak pandai, tapi belum belajar lagi.

Walau sebijak mana aku, STILL..aku tak terlepas dari ejekan liar budak-budak hingusan. Budak-budak yang perasan nak jadi peramugari dan peragawati. Betis berkarat macam tiang jamban, ada hati nak jadi peragawati. Nasib baik aku bercita-cita nak jadi ‘kerajaan’. Jadi kalau betis aku berkaratpun takpe.

Aku selalu kena ejek. Semua tu datang mereka yang ‘skru longgar’ yang kuat cemburu. [Skru buatan Malaysia beb, cepat longgar]

Elemen cemburu tu memang dah ada dari kecik rupanya. Dasar orang Melayu!. Nasib la aku Melayu baru, elemen cemburu aku kira bersifat urban la jugak.

Mereka suka ejek nama aku. “tak noraeskah ari ni?”. Maknanya “tak menoreh kah ari ni?” . Sila baca dengan jiwa yang luhur dan simpati!.

Sudahnya aku komplen kat ayah. Aku rasa masa aku komplen tu aku nangis. Entah, lupa dah. “Boleh tak tukar nama De?” . Aku tanya.

“Pilih la nak nama apa” Ayah jawab macam tak acuh. “Nor Aeshah. Macam nama isteri Nabi. Elok sangat-sangat dah. Cuma silap eja’’. Ayah sambung.

[Sampai sekarang aku sumpah polis yang silap eja nama aku tu. Kalau aku tau rumah dia kat mana, malam ni jugak aku nak pergi simbah dengan cat merah!.]

Bila aku dah sekolah menengah, perasaan tu makin lama makin hilang. Rupanya ada yang lagi dahsyat nama dari aku. Kira aku tu kes terpencil je la. nama Azmi Mukim pun ada. Mukim mana tu?, hihi..

Aku cari jugak makna nama aku dalam internet, dalam buku himpunan nama-nama indah. Tapi tak ada la pulak. Tak cukup indah kot ek?


nota :
[Aeskah = Yang Merindui ]

Sunday, November 1, 2009

Mari Memetik Bunga Nan Sekuntum

Lepas risau laki suka cari kerja lain, dapat pula cerita ‘lawak stress’ baru....itulah aku, seorang perempuan yang sangat tabah hatinya, kalau tidak masakan aku sentiasa diuji dengan dugaan demi dugaan..hihi..bagus betul pembuka kata pemanis bicara aku kali ni. Payah tu nak karang ayat-ayat power. Mungkin Mas Power pun tak sepower aku kalau masuk chapter untuk buat karangan.

Aku telefon mak 2,3 hari lepas. Agak derhaka aku ni sebenarnya. Payah aku nak menalipon mak kalau tak selang masanya melangkau dua minggu. Aku jadi sedikit mithali bila bulan puasa, memang hari-hari aku telefon mak, tak tipu! Aku rajin jugak menalipon bila nak mintak resipi.

Kali ni lain sikit ceritanya. Mak cerita pasal kos sodok tanah nak tanam sawit, masuk pulak cerita pasal bateri basikal dia yang nak kena ganti baru. Dalam pada aku dok mendengar-dengar suara mak kat seberang sana, aku dah congak-congak berapa banyak duit nak kena keluar. Nasiblah kepala otak aku sama terer dengan calculator. Erm dua ribu lebih jugak tu. Kalau RM2k kira aku adala duitnya. Kalau 2k tu paun sterling, mau terjongket ekor aku kena kerja tiap-tiap hari. Sekarangpun aku pergi kerja tiap-tiap hari jugak, tapi kerjanya buat ke tak? Nak aku gadai Nabiha, kecik sangat lagi, kalau timbang kilo, baru berapa je dapat. Tak sampai dua ribu.
Duit boleh cari, senang je falsafah hidup aku. Tapi kat mana, tu yang payah sikit.

Kalau la duit tu senang nak dapat, aku rasa takdela AE tu sanggup ari-ari makan sayur mentah jadi macam kambing sebab susah cari makanan halal kat Swizelen nun. Time raya, menangis lak tu, baru tau betapa syahdunya duduk diperantauan.

Laa.. lupa nak cerita pasal topik hangat perbualan telefon dengan mak. Mak aku dipinang orang! Dia dipinang LAGI sebenarnya. Ini kali yang ke tiga. Semua orang satu kampung. Yang pertama, suami arwah rakan kongsi mak masa buat catering kecil-kecilan. Yang ke dua, tok imam, mati bini jugak. Yang ke tiga ni, rumahnya kat simpang kubur, selang 4,5 buah dari rumah aku.yang ni, entah la bini dia mati ke belum.

Aku memang gelak berguling-guling-bangun-pastu berguling lagi bila dengar mak cakap dia dipinang lagi. Tengok rumah diapun aku tak selera, ini pulak la orangnya..haha..best betul mengutuk orang. Senang-senang je nak ambik mak kita. Dia tak tau bapak aku sampai dibuang keluarga, cinta antara dua darjat punya pasal. Ini main suruh-suruh je sesapa gi pinang mak aku. Kat lori ikan lak tu. Tak de adap langsung. Kot la bawak setepak dua sirih ke, mana tau hati mak boleh terpaut. Takpun sepeket dua cekelat mahal ke. Ada jugak pekdahnya. Kalau mak tolak, anak cucu ada, boleh tolong perabih.

Aku tanya, mak setuju ke?. Mak kata, nak kawin semula dah tak ada dalam kamus hidup dia. Cinta dia tetap pada ayah. Wahh! Jiwang karat orang tua ni.
Letak je telefon, aku teringat iklan yang ada Dafi ngan Sharipah Amani tu. Aura mak. Misti mak aku masa muda-muda dulu lawa, dah la masak sedap, sebab tula ramai yang tunggu je ‘line clear’, terus masuk jarum..

Aku dah cuak dah ni, agak2 kalau line aku plak yang dah clear lagi 30 tahun nanti, sapa plak yang nak gi pinang aku kat lori ikan? Apa plak aku nak jawab nanti? Payah jugak ni. Nak menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak selerak, orang kata. Tapi kes aku 30 tahun akan datang, rambut tu rambut uban..fuhhh berpeluh kalau nak cari uban dalam tepung..

P/S : Kepada sesiapa yang duduk di simpang kubur tu, 30 tahun akan datang, maafkan saya kerana menolak pinangan anda!
Powered By Blogger