Pages

Showing posts with label Cerita Jiwa. Show all posts
Showing posts with label Cerita Jiwa. Show all posts

Thursday, November 3, 2011

HATI BUKAN PUALAM

Didedikasikan buat sahabat yang sedang bernanah hatinya tapi cekalnya setinggi langit


Kamu tidak pernah tahu sepualam mana hati kamu
sehinggalah ianya diuji
sama ada bala atau laba
kelabu atau jerubu

rapuh atau tidak
juga di luar jangka
sehingga ia dicuit pilu dan sendu, manis atau hamis

dan sesiapa tidak akan dapat meneka
sekental manalah ia
sampai ke detik ia dimamah nestapa dan lara
atau dipanggil pulang oleh sengsara dan hiba

wahai hati yang mereput
duhai hati yang hampir mati
aku tidak mampu membantu merawatmu

hulurkan tangan sahabat, biar aku cuba hangatkan tanganmu yang dingin
kerna aku tahu
tangan mu itu mampu berbicara dengan hati
agar melempar pergi rasa busuk yang menjeruk

aku cuba sedaya kudrahku
beriringan
bukan di depan atau ditinggal kamu
aku akan pimpin tanganmu
kita langkah bersama

Sunday, August 7, 2011

Kau Hadir,Kau Pula Tinggalkan Aku

Plan berbuka puasa di rumah Cikgu Sains tidak terlaksana. Atok Una masuk hospital. Bila umur dah kerap menyambut hari jadi, sakit-sakitpun kerap menjengah juga. Melengkar di rumah sajalah keluarga 5 beranak ini menunggu waktu berbuka..

Cina belakang rumah mati. Si pahlawan aku beritahu dia nampak lori Nirwana, mungkin acara pengkebumian akan dilakukan dalam waktu terdekat. Cina tua mati akan bawa banyak ong kepada keluarga anak yang menjaga. Sebab itulah kaum tersebut berebut-rebut mahu menjaga ibu bapa dan doakan biar mereka mati cepat-cepat. Agaknya lah. Aku tuduh saja. Tapi mungkin juga betul. Madam Cheong beritahu maklumat tu.

Nampak dari cara orang-orang yang memberikan penghormatan terakhir kepada si mati, boleh tahan. Komuniti aku tinggal ni kecil, parking memang cukup-cukup untuk residents sahaja, jadi bila kereta yang datang berderet-deret sampai ke taman sebelah dan siap parking di kawasan surau, aku ingatkan ada Ustaz Azhar datang beri ceramah.

Madam Cheong bagitau lagi, pakej yang diambil untuk tanam si tua tu suku juta RM. Mak aii...mungkin yang ada aircond, di rimbunan pohon teduh berbunga wangi. Pakej astro mungkin full pakej termasuk pakej Warna sekali, sebab duduk sensorang nanti mungkin dia perlukan show SY untuk hiburkan hati.

Nuhaa tanya aku kenapa orang Cina bodoh sembah benda yang mereka buat sendiri. Jawapan aku, sehabis ilmiah sehabis islamic.

Si tua itu telahpun bersemadi di Nirwana, mungkin anak-anaknya masih sempat diberi hidayah dan mencari kebenaran. Amiiin.

**********

Pukul 4 petang, bergegas aku dan si pahlawan dewasa ke hospital pula. Panggilan dari seseorang kami terima mencemaskan aku. Satu nyawa akan hadir ke dunia bila-bila masa dari sekarang. Mengimbau pengalaman aku, aku menanti detik-detik kelahiran anak-anak dengan cemas dan teruja. Kebetulan jika dikira dari bulan Islam aku melahirkan Ariffku yang tercinta pada 7 Ramadhan. Hari ini. Namun aku dapat rasakan wanita itu menanti kelahiran zuriatnya dengan sedih dan pilu. Tanpa lelaki yang boleh dipanggil suami. Aku terpalit pilu sama.

Dia telah berdosa, si lelaki jahanam itu juga telah membuat cemar. Kau menghilang, aku yang menanggung derita! Kisah drama telah menjadi realiti, depan mata aku. Setakat ini aku dan si pahlawan ini sajalah tempat dia mengadu. Doa aku juga agar keluarganya dapat menerima. Dengan doa yang sama juga agar ini menjadi pendinding kepada semua. Aku khabarkan kisah ini kepada Nuhaa, dia bakal menjadi remaja dan wanita. Tidak lancar pertuturan aku dek kerna susunan ayat yang perlu seimbang dan aku tidak tersilap penerangan.

Aku teringin untuk menjaga bayi yang tidak berdosa itu, tapi banyak benda yang aku dan si pahlawan perlu pertimbangkan. Aku tidak cukup hebat untuk menempuh hari mendatang dengan menangani 'masalah' yang mungkin rahmat. Aku bimbang ia sumbangan yang sambang dari aku. Mungkin ada keluarga yang kepingin mendakap bayi sekian lama lebih layak untuk menjaga nyawa itu, walaupun aku masih mengharapkan wanita ini berubah hati dan akan memeluk bayi itu seeratnya dan memberitahu dunia, ya aku ibu yang berdosa, tetapi aku akan cuci bersih dosa itu dan anak, aku akan sanggup mati kerana kamu!

Thursday, February 10, 2011

Antara Aku Dan Kamu, Ada Kita 8


Tersadai? Terus Mengembara? Atau memang kamu ditakdirkan untuk bermula dan berakhir di situ.


Bergenang air mata. Bukan air mata darah. Mujur!



Lapuk dan mereput. Bertahan!. Aku rindukan saat itu.


Menunggu untuk diadili. Takdir indah atau rebah menyembah?




Jika katamu cinta sejati, tolong jangan menyerah!

Tuesday, December 28, 2010

Selamat Bekerja Kilang Air Mata. Selamat Juga Untuk Kalian.

Dua hari lagi nak masuk tahun baru, banyak air tumpah. Tadi. Esok dan lusa mungkin tumpah lagi. Tiada kesinambungan cerita di situ sebenarnya. Biarlah.

***

Air tak tumpah kalau tak ada budak gemuk terlanggar cawan atau gelas hadiah ubat gigi darlie yang berisi air laici sambil mata tengok drama Cinta Kirana.

Air tak tumpah kalau kau pegang cawan elok-elok dan bukannya berjalan tergedik-gedik sambil berkejaran dalam rumah lantai melekit sesama kau dan adik beradik kau yang belum baligh.

Air tak tumpah kalau kau tak tamak isi slurpee warna biru perisa beri penuh-penuh dalam cawan yang paling kecik (of course harganya paling murah) kat Seven E

Air tak tumpah kalau kau pekerja hotel yang terlatih bawak cawan sopan-sopan dan servepun sopan-sopan kepada orang-orang berkaliber tapi mungkin kurang sopan dan kekampungan macam saya.

Air tak tumpah kalau kau ada penyakit bisul yang belum ada mata, tapi pada masa yang sama kau ada penyakit Parkinson yang teruk dan kau cuma bawa dua sudu air yang diisi dalam cawan yang berkapasiti 2.25 liter.

Tapi..

Ada air yang tumpah. Air mata ramai orang. Hari ini. Bukan kerana tidak sopan. Juga bukan cawan dilanggar anak yang belum baligh. Bukan juga sebab main kejar-kejar hingga tersepak cawan berisi teh hangat yang dibeli di Haji Ismail Group Langkawi. Tidak kerana penyakit Parkinson. Juga bukan sebab tamak haloba gila.

Bukan. (baca banyak-banyak kali tau agar efek BUKAN tu sangat-sangat BUKAN)

Sebabnya aku cuma ada dua hari lagi. Dan kamu sekalian ‘meraikannya’ pada hari ini. Kamu panggil ini perpisahan. Bila berpisah kilang air mata akan bekerja keras, dan terpaksa kerja over time bagai. Hasilnya air mata yang tumpah bercucuran jika dicampur semua orang yang menangis hari ni dah separas buku lali yang kering dan sikit lagi nak jadi hitam. Sehitam muka Hafiz yang baru balik dari main pata gamaknya.

Sedang menangis lagi ni!

Monday, December 13, 2010

Lumpur Berbuih

Simpan stiletto itu. Kita ke bendang.
Lihat keli sedang menari riang.
Mungkin haruan sedang makan anak , abang dan keluarganya di celahan lumpur kelabu berbuih.

******

Kamu jangan begitu.

Thursday, December 9, 2010

Wednesday, November 24, 2010

Antara Aku dan Kamu, Ada Kita - 6




Bahu, tangan dan kakimu mungkin tidak mampu menggalas. Simpan kudratmu. Gunakan akal.

Thursday, November 11, 2010

Di Suatu Hari

Hari ini
Selagi nadi berdenyut
Walau di penghujung jalan mati
Masih ada ruang
Untuk lakukan sesuatu
Lempar segala khisit
Lariklah mimpi
Cerakin dan mumbungkan ia
Akan berhasil

Esok
Nafas terakhir dihembus
Nafas yang harum
Atas usaha dan tingkahmu
Pilihlah pintumu....

Saturday, October 23, 2010

Antara Aku dan Kamu, Ada Kita 5



Usiamu sudah berjuta langkah. Terhitungkah kamu orakan langkah yang diatur itu banyak melalui denai putih atau hitam?

Friday, October 15, 2010

Awan Kertas

kau cuba menggapai awan?
nyaman tapi menghanyutkan
lembah bahagia
tempatkan aku di puncak itu
kamu perlu sendiri, andai berani

aku mahu langkah perlahan-lahan
tapi teratur
bijakkan aku?
agar kaki tidak tersadung
tengik cerca, hamis nesta
berbaur padu

pergi
cari dirimu
tidak perlu di hujung senja
bukan juga di tirai awan kertas
dirimu, ada dalam jiwamu
di balik hati yang berprasangka
dapatkanlah
mungkin di balik otak jernih yang jujur
ada, aku kata ada!


kita bakal berpesta rumba
hirup kopi itu panas-panas!

Thursday, June 3, 2010

Jentu Kering

Tangan meramas jentu kering
Jika boleh dibuat penawar
Alahai berontak jiwa
Mudah gelodak
Kecamuk.

Rasa bagaimana yang diimpi
wang penuh 14 kendil?
cantik manis yang merah pipinyakah?
nikmat ketupat palas yang cukup lemaknya?

Aku perlu bimbang.

Bila buih teh tarik tidak lagi terasa nikmatnya
Tidur kurang jerab
Sonatapun sudah sumbang di telinga

Aku, kau kena ingat mati. Lebih kerap.

Tuesday, May 4, 2010

Naskhah cinta buat suami

Tika sang suami tergapai di lautan kealpaan

Menanti sekujur dahan melintang lalu

untuk berpaut

menghulur bantu

kamu isteri, aku sedang bertanya…

kamu ada di situ?

Dia dilanda musibah lagi

Nihil. Hilang rentaknya.

Kosong akalnya.

Jiwanya dipalu.

Relakah kamu wahai isteri

Mengebar selimut kasih

Memasang paldu untuk melindunginya

Tiba musim padi tidak menjadi

Aku bertanya lagi

Kamu sanggup mencongkah ubi,

Mengunyah pucuk

Memamah lengkitang

Untuk menyambung hidup bersama sang suami?

Friday, March 12, 2010

Gadis berjanggai dalam derauan

Di rimbunan cintamula
Sedikit mual di balik layah panjang
Relakan diri dikesumba
Padam.Hitam.Kesenai layu
Gumpalan kumulus dicerca
Renyai mengambil tempat
Diganti getar sang hujan....
Powered By Blogger