Pages

Monday, August 23, 2010

Anak Aku.Anak Orang

Aku : Anak aku susah bangun tidurlah, apa taknya memalam tidur lambat. Dah susah pagi-pagi bila bangun menangis dan merajuk.Pakcik van dah tunggu lama baru terhegeh-hegeh nak pilih buku, nak pakai kasut.

Orang : Anak aku ok, 9.30 malam dah masuk bilik masing-masing. Bangun tak payah kejutkan, bangun sendiri get ready sendiri. Tau-tau dah naik bas.

Pengadil : Walaupun anak orang anak yang baik dan tak banyak karenah, tapi pemenangnya adalah anak aku sebab : tiap kali aku nak kejutkan dia, aku kena tengok muka dia, pegang tangan dia, tarik kaki dia, ambilkan tuala, tolak dia pergi bilik air, sabunkan dan pastikan dia gosok gigi, lapkan, pakaikan spender, pakai baju seluar, betulkan sampin, ambilkan songkok. Yang paling menyumbang pada kejayaan aku ialah aku boleh tengok muka dia yang comel, tergeram chin dia dan picit pipi dia yang licin lagi dan lagi dan lagi. Aku juga menang kerana dapat cium anak aku berkali-kali-kali-kali tanpa jemu.

Hah! Nasib baik aku menang.

Thursday, August 19, 2010

New Post. Ini Memang Tajuknya

Aku jarang teringin nak menulis kisah kehancuran nilai-nilai agama, politik wang ataupun isu mat rempit. Yang aku kisahkan anak aku, laki aku, makan mesti cukup, beli handbag dan ummpp ummpp dengan laki. Tu je aku tahu. Pasal kerjapun aku kalau boleh malas nak ambik tahu. Biar kerja yang buat untuk aku, bukan aku yang kena buat kerja. Baru hidup bahagia seperti sedang pakai sari warna merah jambu, berbaring di padang hijau yang ada bau maung rumput sambil tengok langit. Dan konon-konon sambil kira bintang di langit. Ceh!

Tiap-tiap pagi dalam dario ada saja cerita kisah baby dibuang mak babi. Hilang mood nak dengar suara Abang Jem dan Mak Neng kat Sinar FM.

Selama ni bukan aku tak rasa nak bertanggungjawab jadi sial (sosial), tapi menjadi seorang aku, aku hanya tahu mengeluh, geleng-geleng kepala sahaja. Itu tidak cukup dan sangat kurang ajar.

Perlu ke aku pergi bercakap dengan presiden persatuan imam agar isu buang anak ditangani dari mula dan bukan setelah rabak poen anak dara lepas melahirkan dan baru kamu sibuk nak menyekolahkan mak-mak muda itu?

Atau aku perlu tulis surat direct kepada suami Kak Mah agar dia tidak hanya menjadi ketua kerajaan yang berbibir merah dan tahu berkata yang manis-manis sahaja. Banyak lagi rasa lain yang dia perlu tahu, beritahu dan ambil tahu. Bukannya buat tak tahu. Kelat.Masam.Tawar.Pahit.Payau. Lidas. Masin.

Aku akan emosi nanti, sebab tu aku tak suka nak tulis.

Wednesday, August 18, 2010

Ramadhanku...1981-1982

Lagi teringatkan kisah di bulan Ramadhan. Aku sudah membayangkan anak-anak bila mereka dewasa nanti, mereka takkan ada kenangan-kenangan indah sepertimana yang aku telah lalui dulu. Iyalah, sama macam aku, aku juga tidak akan merasa apa yang pernah mak ayah aku alami ketika mereka kecil dulu. Tapi sekurang-kurangnya kemanisan kenangan zaman kanak-kanak ibu bapa aku, membuatkan aku langsung tidak menyesal menjadi kanak-kanak. Aku juga ada pengalaman hebat.

Hari cuti, pagi-pagi dah bersiap dengan aktiviti, sama ada yang dirancang proper atau baru saja terlintas semasa dalam perjalanan balik dari kedai Siti-mengusha mercun das yang 24 das. Huh, kalaula dapat menggenggam dan memiliki mercun idaman semua orang itu, perghh tahap riak dan bangga dia, memang tak hengat. Tapi setakat yang aku ingat, aku dapat 'miliki' mercun tu bila orang dah habis bakar, lepas tu buang merata, hah ambik la berapa batang ko nak. Ataupun bila ayah aku beli sebatang yang paling sikit das dia, lepas tu kena pegang sekali sorang tiap-tiap adik beradik. Dapatlah aku rasakan ledakan 2 das kot, tak cool langsung.

Semalam hujan, pergi kutip kulat sisir (cendawan sisir) di kebun getah baru tebang Ayah Teh Lias memang menarik. Kalau kutip kulat tak boleh puasa yangyok, takkan nak mamah kulat tu hidup-hidup. Termakan ladybird nanti baru tahu. Siapa cepat, memang boleh mendatangkan hasil yang banyak. Seperti biasa, akulah selalu menjadi champion. Sebakul sepuluh sen. Jenuh jugalah nak mendapatkan sebakul, tupun dah berapa kali tipu sambil keruk sekali dengan kulit pokok. Kuku, jangan cakapla. Mengalahkan kuku Nang Nak, nasib baik bila dah dewasa ni jari aku jadi semakin runcing macam buluh runcing dan sang suami pula tak sabar-sabar nak sarung cincin kawin.

Pergi kedai Haji Deris (satu-satunya penjual ikan kat kampung masa tu), kira jual harga borong la, dapatlah 30 atau 40 sen. Itupun selepas berjejes-jejes peluh mengutip, otakpun rasa macam tinggal separuh kena sedut dek panas mentari. Susah nak mampus cari duit, tapi merasa jugalah aku menjadi wholeseller-jual direct pada peniaga kecil macam Haji Deris. Wahh kayanya aku mengalahkan Mydin.

Tengahari bila mak sibuk dengan juadah untuk jualan, aku cuba juga cari jalan untuk mengelat. Tapi dari kecik aku memang anak yang baik, takkan aku tegar membiarkan mak dengan kakak je sibuk di dapur. Tenang jiwa bila dapat tengok butir-butir cendol cepluss jatuh dalam air. Haruman kuah laksam, wangi pulut ketupat palas. Magisnya sentuhan air tangan mak, fuhhh...

Waktu petang di bulan puasa adalah kemuncak sebuah kehidupan. senyap-senyap dan sorok-sorok pakai spender dua lapis, pergi sungai. Ahh sungguh lazatnya rasa air sungai. Kadang-kadang Uza bawak nasi lauk telur ke sungai, kami berpiknik atas batu.

Aktiviti kat sungai memang indie habis. Berendam macam kuba, main asah batu merah jadikan cat kuku,cari udang atau main masak-masak daun kapal terbang. Dah kecut semua anggota di badan, sulit ataupun tidak, salinla baju balik pokok ara, campak spender basah, tukar dengan spender kering dah siap untuk aktiviti seterusnya. Silap-silap selipar hanyut sebelah.

Rambut berseringai tak bersikat, kening bersememeh dengan telur udang-kononnya boleh mencantikkan kening, padahal hanyir pait! Yang jadi mangsa udang sedang bunting ditangkap, korek ambik telur, lepaskan balik. Tak berhati perut!.

Balik rumah dengan muka macam pelarian Afrika. Penat. Lapar. Konon!

Sunday, August 15, 2010

Ramadhan Ku Part 2

Kenapa Ramadhan begitu meninggalkan nostalgia pada semua? Sangat berbekas dalam hati. Bulan Ramadhan banyak perkara yang syahdu-syahdu. Kalau berlaku dalam bulan Ramadhan, yang lucu pun bila diceritakan balik akan jadi pilu.

Hari ini dah 6 Ramadhan. Baru sedap sikit nak cerita. Nak kata mood raya dah datangpun munasabah dah. Tapi Ramadhan tahun ini, aku sedikit pelik kerana kebiasaannya pada tahun-tahun yang lepas, hampir setiap hari aku menelefon mak. Ini baru sekali aku call mak, itupun biasalah sebab nak confirmkan (mintak ajar) resipi bingka. Aku dah putus susu agaknya. Aku dah dewasa tanpa aku sedar.

Aku teringat Ramadhan yang mana aku ambil tempahan menjahit lapik meja ropol-ropol macam gaun anak keling. Gila ah lenguh kaki mengayuh mesin jahit yang tanpa letrik tu. RM90 satu set. Hasilnya? Itulah yang aku buat masuk UUM tu. Yang kena bayar permulaan RM900 lebih kalau tak silap.

Pada usia 20 tahun, aku rasa aku perlu galas tanggungjawab itu sendiri. Aku tak mahu mak ayah menangis. Aku bimbang mereka sedih macam dalam cerita drama yang terpaksa bergadai sawah bendang untuk menguniversitikan anak-yang akhirnya anak menjadi durhaka dan durjana.

Aku-bila aku mahukan sesuatu-aku usahakan-aku tak dapat-aku menangis-bila aku dapatpun aku akan menangis. Kes menangis aku kali ni kerana aku berjaya membantu ayah mak, walaupun ukurannya tidak akan sama dengan kasih-sayang mereka.

Lagi, aku terkenang Ramadhan yang dulu. Aku bantu mak buat bahulu, beratus-ratus biji telur sehari. Aku jadi dayang tepi kolam, mahu jemur tepung. Adik lelaki (arwah) akan kepuk telur dengan gula dalam tempayan air basuh kaki. Sambil kepuk sambil sebut reket-reket-reket.Haha kelakar sebab dia target nak beli reket badminton KALAU mak bagi upah kepuk bahulu tu.

Mana kakak? Dia sekolah jauh, cuti sabtu ahad mana boleh balik kampung. Mana adik-adik yang lain tak bantu mak? Adik-adik sibuk main pasir, masak tanah. Mujur tak jatuh dalam telaga.

Mak handle oven sabut 8 biji sekali gus. Gila cekap mak aku. Lipas kudungpun akan ternganga melihat ketangkasan mak bermain api.

Sebab tu kalau tak jadi pembuat bahulu, mak mungkin tangkas bermain badminton ataupun bekerja dengan sarkis-tukang pasang api.

Aku paling rindu part mencungkil bahulu yang sudah masak gebu dan sangat harum itu dengan lidi.

Aku terbayang-bayang Ramadhan lepas-lepas. Ayah sibuk di kedai guntingnya. Semua orang mahu berambut stail baru di hari raya. Aku tukang sapu rambut yang bersepah-sepah. Uban, rambut berminyak-minyak cap Jamilah, mungkin rambut berkutu, eii geli! Masa tu teknologi rebonding masih belum ada. Tapi teknologi kerusi gunting yang boleh adjust bagi turun-naik macam katil hospital dah ada. Itupun sebab ayah buat sendiri. Nak harapkan persatuan tukang gunting, presidenpun belum ada calon.

Ramadhan ini akan jadi kenangan juga bila ditinggalkan bertahun-tahun dari sekarang. Yang pasti kerinduan itu takkan hilang. Yang sendu. Yang pilu tapi membahagiakan.

Thursday, August 12, 2010

Sila ambil perhatian!

Aku sukakan perhatian. Tapi bukan perhatian dalam dunia glamour seperti artis. Bukan. Gila kau, ingat aku sanggup nak pikul dosa bertan-tan?

Perhatian untuk dirangkul erat suami, perhatian untuk dibelai-belai macam kucing Parsi, perhatian untuk didukung kemudian dihempas ke katil empuk, itu aku tak minat sangat untuk tulis di sini. Itu biar aku tulis nota untuk suami aku sajalah. Aku boleh karang ayat sedap-sedap, nanti kauorang nak pinjam untuk diberi pada suami masing-masing pun boleh.

Aku suka bila ada sesuatu perkara yang aku pandai-aku buat-jadi sedap-kawan-kawan minta resipi-dengan senyuman manis (memang aku ikhlaslah!)aku bagi mereka resipi itu. Itu contoh sajalah. Tapi dalam konteks yang lebih besar, aku suka jika aku dapat berbuat sesuatu (yang mungkin mustahil untuk aku hulur RM sebagai ganti pertolongan dari aku) dan kamu semua gembira. Cuba beritahu aku klasifikasi perasaan itu sebagai apa? Indah bukan?

Itu saja. Cuma itu. Bukan bermakna bila aku bantu kau-kau pula kena bantu aku (walaupun kadang-kadang ya aku harapkan itu).

Kau dah bantu akupun. Buat aku gembira. Ingat senang gembira nak singgah dalam hidup kita?

Cuma ada masanya juga aku tidak rasa untuk membantu. Aku lebih rela membatu saja. Kerana perasaan membantu si batu-batu ini, kadang-kadang boleh mengundang kesedihan dan kemarahan pada aku.

Huh!

Tuesday, August 10, 2010

Mari Minum Jus Poligami

Dah lama aku tunggu nak menulis sedikit berkenaan bab ini. Aku nak beritahu Jalaq, sebenar bukanlah aku menentang poligami ini. Cuma aku ada harapan aku tersendiri untuk mereka yang bakal dan sedang menempuhnya.

Dengan kata lain, aku adalah wanita yang tidak mahu berada dalam statistik berbahagi kasih dengan wanita lain. Kalau boleh, aku tak mahu dibahagikan kasih itu, aku mahukan suamiku gandakannya. Lagi dan lagi. Tamak!

Tapi, siapalah aku untuk melawan fitrah manusia. Lu sapa untuk menahan ‘pemberian Tuhan’ dalam bentuk yang pada mulanya akan menyakiti hati wanita tetapi ada nikmat bertimbun-timbun di sebaliknya. Siapa tidak mahu imannya teruji dek kerna berkongsi kasih suami yang bermelia-melia itu, tanpa kehilangannya; dan dapat pula ganjaran besar dari Tuhan.

******

Hari ini, akhirnya kasih sahabat yang selalu aku jadikan testimoni dalam penceritaan aku (berkenaan bab ini) sudah menemui jalan penyudah. Diceraikan melalui sms. Jantan bacul! Jantan yang tahu berjalan bongkak tapi mengendong telur kecut!.

Aku tidak layak marah sesiapa (kau tak boleh pun!). Itu perihal rumahtangga mereka.

Ini bukan isu bila melintasnya perempuan yang lebih lentik punggungnya, wangi dan besar bombomnya menyebabkan suami beralih arah. Ini isu bila ada yang baru yang lama tidak berguna lagi.Isteri pertama sudah menjadi surat khabar lama. Buat alas kopek ikan bilis atau lapik tong gas.

Ini isu bercampur-campur.Sebenarnya isu perempuan penggoda sudah lapuk.Itu memang fitrah wanita penggoda, tapi bukan semua. Itu fitrah wanita gatal.

Aku ada syor untuk perempuan-perempuan gatal di luar sana. Nanti.

komunikasi. bilik tidur. nafkah. zahir batin. orang ke tiga.along.kawan.pengotor. hisap rokok. tak pandai masak. tidur awal. bodoh. kurang sabar. tiada anak. anak cacat. anak ramai. banyak kerja. weekend marriage. duit tak cukup.gemuk. busuk. pemalas. hisap ganja. jual dadah. tak romantik. Kaki pukul.suka mengumpat.ipar duai jahat.mentua.cemburu buta.makan banyak.tidur berdengkur.kedekut.bias. dengki.jiran mulut tempayan.adik-beradik ramai.miskin.boss suka kacau.lembab.suka tengking.mengigau.boros.hutang.kereta kecik.semua.semua.semuanya.

Aku terkilan. Banyak.

Bagi yang berkaki satu, jangan haraplah boleh pandu kereta manual dengan cekap. Baik bawak auto saja. Begitu jugalah tahap iman lelaki bercita-cita tinggi ini. Jika tahap iman pada tahap manusia berkaki satu, macam mana nak mengemudi sebuah institusi perkahwinan?. Eh, dua buah institusi. Payah dan sungguh mencabar. Takkan ada yang boleh berlaku adil seperti mana yang dituntut agama. Tapi OK jika mahu berusaha. Untuk adil saksama. Untuk terus beristiqamah. Sekurang-kurangnya usaha.

Takde mood nak sambung...

Sunday, August 8, 2010

Thursday, August 5, 2010

Menyusun Butir Tasbih –Part 2

Kali pertama aku cuba menulis kisah magis ini. Aku tak tertulis. Asakan dalam kepala aku, rasa macam kepala mahu tembus, kemudian pecah berkeping-keping dan otak akan terpercik-percik ke dinding. Ah gila exaggerate.

Saat aku pijakkan kaki busuk ini ke bumi Madinah, terus satu perasaan yang tak termengertikan timbul. Muttowif beritahu yang sebentar lagi kami akan nampak kubah Masjid Nabawi. Aku pegang dada, sebab terasa macam jantung aku berhenti berdegup. Subnanallah!

Dan, aku berada di masjid yang dibina oleh Rasulullah! The greatest human being ever lived! Rasulullah pernah bersolat di sini. Di mimbarnya. Di halaman rumahnya. Aku terasa ada hubungan yang rapat antara emosi, jiwa dan tahap keimanan aku dengan magisnya Islam. Indahnya. Akrab. Terasa setiap sendi, tulang temulang dan titis-titis darah dalam tubuh aku turut sama-sama bergetar memuji keagungan-Nya. Perasaan seperti seorang anak derhaka yang akhirnya diampunkan ibunya di saat nyawanya sedang disentap.

Sebelum aku ke sini, banyak juga aku ditakut-takutkan dengan cerita-cerita pembalasan Tuhan kepada hamba yang degil. Di sana nanti pembalasan Allah adalah dalam bentuk cash. Ia memang mencuakkan aku. Ada yang tidak nampak Kaabah, bergaduh, bercerai-berai suami isteri, sesat dan hilang jalan pulang. Macam-macam cerita negatif. Ia sebenarnya akan menjuruskan orang untuk berkata tidak kepada amalan mengerjakan ibadah yang seronok dan sangat indah ini.

Tuhan akan terima ibadah ku? Adakah taubat saya diterima? Kaki aku yang buruk ini layak atau tidak berpijak di bumi suci? Semua persoalan-persoalan yang menyesakkan dada.

*******

Bersiap-siap untuk sebuah perjalanan yang lebih besar. Ke Mekah menunaikan umrah buat kali pertama. Pilu, sedih dan gembira teradun. Dalam hati aku membayangkan rupa suami yang akan mengenakan kain ihram tanpa seluar dalam, dan kepala yang botak selepas bercukur nanti. Pasti cool! Rupanya memang betul-betul cool.

Walaupun perjalanan dengan bas agak panjang kira-kira 6 jam (jarak Madinah-Mekah kira-kira 447km), dan perjalanan di waktu siang dengan suhu lebih 57 darjah Celsius. Tapi aku tak rasapun yang lama itu, yang panas itu. Aku happy dan tiba-tiba aku rasakan cinta pada orang sebelah tempat duduk dalam bas ini semakin mekar beb! Ehem!

Kami bermiqat di Bir’Ali. Terlihat papan tanda Mekah saja membuatkan zarah-zarah dalam badan aku kembali vibrate dan bergetar.

Umrah kali pertama akan dibimbing Muttowif. Ustaz Masykur yang cool dan best! Kiub hitam telah ada depan mata aku. Aku nampak Hijr Ismail. Aku nampak Maqam Ibrahim (tapak kaki Nabi Ibrahim a.s). Juga Hajarul Aswad dan Multazam (pintu Kaabah).

Kemudian.

Aku bertawaf. Bersemburan air mata. Ah, keras mana sangatlah hati kamu.

Dan aku bersaie untuk rukun umrah yang seterusnya. Juga sambil berjuraian air mata.

Ini tanah yang menerima manusia. Walau berapa gunung dosa kamu. Walau setinggi mana amal kamu. Kamu tetap akan diterima.

Tuesday, August 3, 2010

Kasut BATA Tapak Merah

Aku tak tau la apa permainan ataupun penyakit ataupun pesen ataupun sindrom ataupun fenomena ataupun trend yang melanda anak bujang aku. Kawan-kawan diapun sama.

Bermula dengan main tepuk-tepuk lantai. Siapa boleh hasilkan bunyi yang paling kuat, kira pemenanglah. Lepas tu tepuk batang aiskerim dan sejauh mana batang aiskerim tadi boleh melompat. Berdepup berdepap. Pening kepala aku. Terus terasa nak pasang alat kalis bunyi dalam rumah macam kat UNITEN tu. Gila hebat boleh menjerit sesuka hati; pada masa yang sama orang kat bilik sebelah langsung tak terganggu.

Sekarang sudah tukar. Tepuk-tepuk lantai, sakit tangan. Sekarang trend main hentak-hentak kaki pula. Tapi hentak bukan sebarang hentak. Kena pakai kasut khas. Tak boleh kasut tapak tebal. Lagi nipis lagi bagus. Kasut nipis bertapak merah. Tapak lain tak boleh. Bunyi tak gempak, macam kucing terkucil saja, apa barang.

Alahai Muhammad Ariff. Mengamuk nak kasut tapak merah. Sama macam aku mengamuk TAKNAK kasut tapak merah. Dulu la.

Masa nak naik tingkatan satu aku nak kasut Aliph. Tapi aku dapat kasut BATA tapak merah. Ah gila tak femes la nanti. Tapi setakat merungut sajalah.

Nak je aku cerita kat Ariff selain kasut bata tapak merah yang aku ada tu, aku ada lagi satu kasut lain. Aku nak bagitau dia, jiran mak aku yang kerja jadi jururawat desa kat kampung tu bagi aku sepasang kasut putih, tapak putih, ada buckle besi di kiri kanannya. Aku nak Ariff tau yang aku selang-selang pakai kasut tu dengan kasut bata tapak merah. Biar Ariff betul-betul faham cerita aku ni , masa aku pakai kasut tu, bila kena pergi surau untuk solat, atau amali solat, time nak tanggl kasut, aku akan terbalikkan kasut tu. Takpun aku akan letak jauh sikit dari kasut orang lain.

“Sebab apa mama?” akhirnya Ariff tanya aku.

Dalam sedih mama pun jawab, ‘’dalam kasut tu ada tulis, HAK KERAJAAN MALAYSIA’’.

Sunday, August 1, 2010

Aku Tengok Orang. Tak Guna Kanta

Aku memang suka memerhati gelagat orang sekeliling. Tapi biasanya aku kena la pandai-pandai cover, jangan sampai orang perasan. Perempuan hitam gemuk yang suka memerhati orang,atau lebih tepat suka jaga tepi kain orang ni, tengok sipi-sipi je. Lepas tu kumpul maklumat. Apa lagi.

Aku tengok kau-kau diperhatikan dia. Dia ralit dijeling kamu, kamu diintai sang berbulu kening nipis macam pelacur oleh diorang. Hahaha-semua orang saling pandang-pandang, jeling-menjeling. Ada guna kanta?

Pada aku bila kita perhatikan orang (aku tengok orangnya je ya, bukan handbag dia!) boleh memberikan idea dan material baru untuk diceritakan dalam blog, dan sesi yang paling sedap-cerita kat kawan-kawan. Cuma akhir-akhir ni aku nak cubalah kurangkan sesi-sesi sebegitu. Yalah, umur pun dah 37 tahun beberapa bulan, takkan sehingga aku mampus nantipun aku nak mengumpat orang jugak. Macam tak kena, kan? Orang yang berumur matang macam aku ni dah tak layak nak sibuk-sibuk ambil tahu berapa kilo gelang orang tu ada, berapa bulan instalment set sofa yang orang ni termiss bayar, dan lain-lain lagilah cerita-cerita yang sedap ditokok tambah dry sin flavour. Sepatutnya la kan? Erm..

Macam mana kita nak menilai orang hasil dari pemerhatian yang baru sekali kita jumpa. Seorang lelaki. Tengok baju seluar dia- tak bergosok rapi. Tandanya bininya pemalas-atau tak ada duit nak beli iron starch-atau bibiknya baru lari dari rumah ikut Pakistan jual karpet junjung naik motor- atau bininya dalam pantang, suami tak reti guna seterika tanpa wap. Seribu kemungkinan.

Tengok perempuan pulak. Warna tudung mecing dengan warna baju, emas di badan termasuk gelang kaki macam nak tambat anak monyet, lebih kurang 2 kilo setengah, kasut jenama rorine setona dengan hangbag jenama sama. Gincu bibir merah sangatlah mak ngah; macam pungkoq beruk. Wah rajinnya menjaga kecantikan. Tapi tidak mustahil rumahtangga tunggang langgang, bangun tidur pukul sebelas pagi, bilik air tak pernah basuh, homework anak tak pernah semak, kuku kaki laki tak pernah nak tolong potong.

Macam korang nak menilai aku. Ada guna kanta? Walhal aku ni punya la baik, tapi ada korang perasan?

******

Cerita belakang tabir : Pasar Borong Selangor, Sabtu Pagi

Aku ternampak (dan lepas tu terus la tengok) seorang yang ‘selekeh’ membeli nasi lemak lauk ayam. Syohhh..syohh dia panggil kucing-kucing yang berkeliaran kat situ hingga hujung gerai makan. Dia share makanan tu dengan kucing! Sesuap dia, dua tiga suap dia campak ke tanah kasi kucing makan. Terharula mokcik gemuk ini melihatnya. Mokcik ada?

Suatu Hari Di Bulan Julai

Julai baru saja berlalu. Orang-orang seperti Norli dan Salwanee mungkin sedang senyum-sama ada sumbing atau meleret-leret. Sebabnya bila tengok prestasi urusan membuat duit atau memberanakkan duit dalam akaun orang lain untuk setengah tahun pertama yang lepas. Biasanya ramai yang akan senyum sumbing.

Julai pada aku tak berapa nak best sangat. Sakit nak beranak buat kali pertama, jatuh dalam bulan Julai. 44 hari kena jalan sambil kepit-kepit. Tetek bengkak, perut buncit(dan kekal hingga ke hari ini- menyampah!). Dah la tak boleh makan aiskerim. Sambal udang jangan harap. Satu je yang best -sebab dapat anak yang comel dan wangi.

Julai jugaklah bapak aku mati. Abang Mi mati. Pada hari yang sama. Keakraban mereka ibarat anak dan ayah. Sepanjang pemerhatian aku, selalu juga aku nampak Abang Mi hulur duit pada ayah. Walaupun jari dia kudung tiga batang kena bom ikan, tapi jumlah yang dihulur tu agak berbaloi.

Julai lagi.

Buat kali pertama Encik tuan tanah pergi Finland. Lepas tu pergi German pula. Wah jauhnya outstation. Terasa macam aku ni bini konsulat-walaupun masa tu sekali haram aku tak pernah naik kapal terbang.

Oh, Julai juga aku dapat adik ipar bongsu. Kenduri serba sederhana saja. Iyalah, mak akupun cuma ada basikal tua, lain la kalau dia ada Honda Accord warna urban titanium. Bolehla buat kenduri besar-besaran.

Kecik-kecik dulu aku suka duduk kat hujung julai pokok jambu isi merah. Bergayut macam kera. Cuma ekor aku tak sepanjang ekor kera dan bapak kera tak macam bapak aku -bila bapak nampak aku panjat pokok-dia suruh turun-balik rumah kena rotan.

Tapi, bapak kera mungkin libas anak kera dengan ekor.
Powered By Blogger