Pages

Tuesday, February 16, 2010

Ayah Pernah Berpesan...Pesanan Itu Tunjang Hidupku

Bila teringatkan ayah, aku memang sebenarnya banyak teringatkan nasihat, petua dan kata-katanya untuk kebaikan dan kesejahteraan. Banyaknya disampaikan dalam lawak jenaka dan penuh berhemah. Kadang-kadang terkeluar kata-kata puitis, luahan kata cinta pada wanita bernama Fatimah juga pernah aku dengar. Mak yang dipanggil Moon, tanda cinta untuk wanita paling cantik di mata hatinya. Secantik bulan di pagar bintang, walaupun hakikatnya dulu mak yang bersaiz jari kelingking dah bertukar ke saiz beribu-ribu batang jari kelingking. Cinta mereka terhenti di saat hembusan nafas terakhir hayat ayah. Ianya pasti akan bersambung kembali di syurga nanti.

Ayah kata, kena tengok adik-adik. Sebab tu aku hanya tengok lebih dari menjaga mereka. Tapi tidak sekali-kali aku abaikan yuran UiTM Cichik dan Adik. Walaupun diorang terpaksa menerima bebelan dan leteran, cabaran demi cabaran kena tempuhi untuk dapatkan transfer fund dari aku. Aku hulur juga duit pada Teh walaupun dia kerja. Walaupun kerjanya gitu-gitu je, tapi dia masih bekerja. Tapi kalau ayah masih ada, pasti itu masih belum mencukupi. Aku kena jaga mereka, dengan sebenar-benarnya apa yang terkandung dalam maksud JAGA itu. Itu juga amanahnya pada Ngah untuk menjaga aku, Teh, Cichik dan Adik Anna. Dia sulung, dan pastinya lebih berat istilah jaga itu padanya.

Bukan sembarangan macam jaga atau pak guard yang bila kereta lalu, tabik spring abis, lepas tu rumah kena masuk perompak jugak. Tak sama macam orang yang bekerja sebagai jaga, tapi selalunya ada orang lain pula yang kena ‘jaga’ kan mereka dari lena.

Mereka berkudis, aku kena sapukan ubat biru. Mereka luka kaki ditimpa pagar balairaya, aku kena cepat bertindak sapukan ubat kuning. Bila mereka demam, aku kena patah-patahkan Cortal agar mereka senang telan. Itu jaga yang ayah maksudkan.

Ayah pesan juga... cebok air kena basuh. Kena sental dengan berus sabut, tenyeh dulu dengan sabun mandi yang dah kecik. Itu amatlah tidak relevan pada aku. Itu Cuma kerahan seorang ayah yang ingin menguji kuasa vetonya. Dah tak ada benda lain dah nak dibasuh?

Tapi hari ini, aku akan pastikan cebok di rumahku berbasuh, disental. Rumah mak juga. Kalau aku malas, aku kerahkan Una, takpun Adik untuk menyental. Pastikan cebok bersih. Aku dah faham maksud kerahan itu. Tapi semua selepas ayah tiada.

Ayah pesan lagi, lipat kain kena bentang lebar-lebar. Tak boleh lipat atas riba. Duduk bersila dan kena tekan dan gosok-gosokkan hujung ke hujung. Biar kemas. Aku bersungut juga. Tak ada sapa nak tengok lipatan kain kat rumah kita. Aku ikutkan takut ayah marah.

Tapi sekarang, aku sakit mata bila tengok bibik lipat kain. Atas kekudapun boleh lipat kain. Macam-macam saiz ada. Aku bukak, bebel dan lipat balik. Ayah pasti dapat rasakan itu.

Ayah pesan dan cerita macam-macam. Aku jadi rindu bila ayah mengisahkan cerita kebodohan orang asli. Walaupun mungkin ayah tak sempat tahu pasal orang asli kat Bangas dah bukak ladang kayu jati dan ada yang jadi Engineer.

Ayah..salam kerinduan dan kasih sayang dari anakndamu. Semoga rohmu dicucuri rahmat selama-lamanya.

4 comments:

Azhar Omar said...

Sedih aku baca kisah ayah ko ni Chah. Seriously, aku boleh appreciate perasaan ko terhadap ayah ko tu. Aku yakin arwah ayah ko pasti bangga dgn Chah yg ada pada hari ni.

Idi said...

Ko buat aku rindu kat Arwah Mak aku la Chah...

Anonymous said...

cebok tu apa....mcm lain je dr yg aku paham...

imaoma

Chah said...

Tok/Idi,
Aku memang rapat dengan ayah. So far he's the best dad ever...

Imaoma,

cebok tu kalu orang pahang panggil untuk penceduk air. Kat sini cebok tu proses membasuh lepas beristinjak kan...:)