Pages

Wednesday, June 30, 2010

Wish List

Sampai satu tahap bila dah tak ada benda yang boleh dimasukkan dalam senarai permintaan atau senarai hajat, adakah kita sedang menuju ke arah kaya? Ke itulah bahagia? Tanda orang bersyukur?

Minggu depan aku tutup jap pintu belog aku ni –tak lama dua minggu je. Kalau nak masuk jugak, sila guna kunci pendua-ada tu aku letak bawah pasu pokok mas cotek.

p/s Sepanjang aku tak ada ni, pandai-pandailah korang fikir nak masak apa untuk memikat perut suami tu. Cekodok tauge dihentikan siaran selama 2 minggu. Nasi goreng wonder pet pun sama. Jangan nak mengidam-idam.

Balik nanti aku bawaklah kismis ngan kurma sejemput kongsi tiga orang.

Thursday, June 24, 2010

Kehilangan Ini

Hari ini hari ke enam Teh tiada. Kehilangan lelaki ke dua dalam keluarga aku. Dah tiada lagi warga lelaki dalam keluarga selepas ayah.

Aturan Tuhan cukup indah. Semua in order. Siapa yang perasan pasti berdegup jantung dan tersentap hatinya dengan tanda-tanda yang ditunjukkan sebelum seseorang itu akan pergi. Beberapa kali juga hati aku berdegup sebenarnya.

******
Keputusan Teh untuk berhenti kerja di Kemaman dengan alasan untuk menjaga mak yang sendirian di kampung, memang mencairkan hati aku. Sebelum ini, pada zaman remaja kami, aku selalu geram dan banyak juga marahku disebabkan dia. Aku malu bila dia satu-satunya lelaki dalam keluarga tidak habis belajar (dan tak dapat masuk university). Maaf-aku mengukur kejayaan seseorang bilamana masuk universiti-dapat kerja bagus-makan gaji besar. PADA MASA ITU. Jangan marah aku! Itu sentimen yang diterapkan dalam kepala otak aku oleh cikgu-cikgu dan ibubapa aku mungkin.

*****
Bila Teh call menangis minta maaf ngan aku dan suami, aku jadi tercengang. Biar betul. Kebetulan dia sedang demam pada masa itu. Jadi aku merasakan mungkin disebabkan kesihatannya yang tidak berapa baik menyebabkan dia berperlakuan begitu.
Aku tak sedap hati.

Call Ngah dan Cik.

“Jom balik kampung tengok Teh demam. Lain macam je mintak maafnya tu.”


[,]

Sehari lepas semua adik-beradik balik menjenguknya, adik call beritahu Teh demam makin teruk dan tak boleh bangun. Budak-budak kampung tolong bawak ke hospital dan hari yang sama juga aku dan adik beradik yang lain balik lagi jenguk Teh. Doktor mengdiagnosnya dijangkiti Meningoencephalitis –jangkitan kuman di selaput otak.
3 hari di hospital, Teh makin ok. Macam ok. Kami sepakat adik beradik untuk transfer ke hospital di area KL due to logistic reason. Dia minta nak balik ke rumah, nak jumpa mak dan mudah nak solat. Merayu-rayu pada Doktor.

Dia dikeluarkan dari hospital atas risiko sendiri.

Sehari di rumah aku. Dia nampak lebih tenang berbanding masa kat hospital.

*******
Dia mintak aku tolong belikan handphone. Aku bergegas ke MetroPoint, Belikan. Balik tu dia minta pula belikan seluar. “Di nak warna putih’’. Gila aku berdebar.

Sabtu.

‘’De nak pasar ni, kejap lagi Cichik ngan Ngah datang. Balik pasar De pergi kursus’’
Dah tu bilanya nak beli seluar putih?
‘’Petang lepas abih kursus la De pergi cari...’’
‘’Dan ke...’’
perlahan suara dia tanya lagi. Sungguh darah aku berderau lagi.
‘’kalau macam tu balik dari pasar nantilah De carikan..,De nak pergi dah ni.’’
Aku nampak dia duduk di birai katil, senyum je lepas mandi.

‘’De...’’ dia panggil lagi. Aku masuk semula dalam bilik dia.
‘’De..sayang sikit..” Dengan hati yang rasa berbongkah-bongkah aku cium tepi mata dia.

********

Adik sms suruh aku cepat balik. ‘’Teh dah nazak ni’’.
Aku, ‘’cepat adik ambik semua surat-surat hospital, De balik ni terus kita pergi..’’
‘’Tak dan dah..tak dan dah..’’


[,]

Aku dan suami pangku dia, ajarkan syahadah. Aku sempat bersama dia sebelum nafasnya yang terakhir kira-kira dua minit. Aku nampak kumat kamit terakhir dari mulutnya, Allah..Allah...
Aku tidak ralat sikit pun. Langsung. Aku tau dia pergi dengan tenang setenangnya. Aku perempuan cekal. Teh pernah ucapkan itu.

Arghhh..Macam drama TV. Memang.Itulah sebahagian episod drama hidup aku. Ditayangkan pada 19 Jun 2010 yang lalu.

Tuesday, June 15, 2010

Saya tanya anda jawab.

*Gembira tak bila dapat adik ipar?

*Suka tak bila awak kahwin dengan pakwe masa sekolah rendah yang dah kerja pilot dan dah belikan awak rumah banglo 5 bijik?

*Kalau awak kena ragut dan gelang kesayangan kawan awak yg pinjam sekejap untuk melaram pun kena sentap juga dek peragut tu, macam mana?

*Best tak perasaan bila mak mentua langsung tak puji masakan awak tapi awak tengok suami dan bapak mentua pulun hingga lupa orang keliling?

*Apa awak rasa bila kawan lelaki awak dari luar negeri belikan awak handbag yang harganya separuh dari harga kereta kancil sedangkan awak adalah isteri orang yang hanya mampu beli beg Forrest Timber?

*Rasa bila ayah awak mati?

*Rasa bila ada wanita sms isteri awak dan mengaku dia cintakan awak?

* Sementara tunggu lampu isyarat hijau. Awak nampak seorang bapa yang sedang menunggang motorsikal kriss dan membawa anaknya yang berumur 2 tahun tanpa menyedari selipar Ben10 anaknya terjatuh. Awak berada di dalam bas yang tingkapnya sangat ketat dan mustahil untuk dibuka oleh kudrat seorang perempuan yang belum ambil sarapan. Awak tidak dapat jeritkan ‘bang! Selipar anak abang jatuh!”

*Bagaimana anda nak memberitahu kawan karib anda bahawa giginya terlekat cili semasa dalam meeting yang tersangat penting dan dia sedang bercakap dan ketawa berdekah-dekah tanpa henti?

*Sakit tak nak beranak?

*Agak-agak bila kak Mah nak tukar stail rambut dia? kuruskan badan?

*Susah tak buat kek pisang?

*Apa perasaan bila baca blog ni?

Wednesday, June 9, 2010

Kau Ibarat...

Aku ibaratkan sahabat umpama hingus. Kita sayang nak hembus buang keluar dan biarkan dia menyesakkan hidung hingga menyukarkan pernafasan. Kita pilih begitu, kita sebenarnya rela, kan?

Dan,

Aku umpama adik beradik seperti tahi hidung yang sudah keras. Kita akan mengalami sedikit kesukaran semasa mengorek untuk membuangnya. Tapi biasanya kita tidak akan mencampakkan merata-rata. Sebaliknya kita akan menggentel-gentelkannya, sasarkan tempat untuk kita menjentiknya pergi. Walau dalam kebanyakan masa kita sebenarnya mengutip semula, mengunyahnya dan telan!


:)

Tuesday, June 8, 2010

Aku Jadi Kamu. Meh Aku Try!

Nama aku Abu Samah. Nama yang aku gunakan dalam facebook adalah Samm. Usia? Sedang-sedang sedap. Lelaki matang yang penuh dengan keghairahan dan sedang menikmati hidup. Aku memegang jawatan besar dan bergaji besar. Baru-baru ni aku baru saja menyudahkan satu projek mega di Kemaman. Jadi sekarang aku mahu duduk bersenang-lenang, happy hour sampai subuh.

Aku sedut asap rokok dalam-dalam. Wangi. Terasa nyaman bila asap harum tersebut meresap perlahan-lahan ke paru-paru aku yang makin hari semakin kering mungkin. Ah, mati, semua orang akan mati. Aku sedikit angkuh, sesuaila dengan perwatakan aku yang jantan dan sekali-sekali boleh memberikan pandangan maut hinggakan wanita boleh cair.


Aku tersenyum sendirian mengenangkan betapa indahnya dunia lelaki. Petik jari (dengan wang) perempuan berduyun-duyun datang. Simpan jambang macam Sizi Oraza, membondong-bondong wanita kejar. Itu belum lagi kalau perut kempis ada 6 petak, lengan sebesar baldi, pasti boleh dijadikan modal untuk menawan hati wanita.

Aku senyum lagi. Aku boleh leka menonton perlawanan bola sepak, pertandingan snooker, atau apa jua jenis sukan tanpa perlu fikirkan esok nak masak apa, pergi kerja nak pakai baju mana dan 1001 hal-hal yang sangat remeh tapi adalah isu negara bagi wanita-wanita.

Aku teringatkan wajah Sheeda anak Datuk Karison. Genit menggoda. Terbayang-bayang suaranya yang halus di hujung talian meminta aku menemankannya membeli-belah. Aku turutkan saja demi cinta.

Urusan membeli belah dengan si dia membuatkan aku terlepas 3 waktu solat, 3 waktu makan dan tiga kali juga aku tersengguk-sengguk di luar kedai handbag.

Aku balik dengan rasa mual, pening, serabut dan menyesal. Sekali dengan pakej sakit-sakit di tumit, sengal-sengal otot betis dan kejang urat belikat.

Aku malas nak fikirkan berapa duit yang telah dihabiskan. Itu akan menghentikan degup jantung aku pada saat tu jugak.

**********

jin ! tolongla, jadikan aku perempuan semula! Aku tak sanggup jadi lelaki kalau macam tu gayanya, Itu baru satu bab. Ada 14 kali beribu-ribu bab lagi perihal tentang wanita yang aku tak sanggup hadapi!




Laaa! yang nipun korang baca jugak ke? haha...

Pesanan untuk orang yang tidak bertamadun tapi yang bertamadun sangat tu, janganla buat hal.


















Pesanan ni bukan untuk orang yang tidak bertamadun. Kalau orang yang paling bertamadun atas dunia ni atau mana-mana dunia kartunpun, tapi kalau dah tak sempat tahap dewa dewi tu, (bukan setakat bulu tengkuk yang meremang, bulu-bulu hidung semua rasa tegak), bila masa nak pikir tak boleh kencing kat pagar orang ke hapa. Janji legaa...

Saturday, June 5, 2010

Aku Ada Untuk Mu-Sentiasa

Hari ni sang pendekar demam. Semalam aku sesedap perut je merayap. Sebelah pagi kebetulan aku ada kerja di KL, tapi urusannya lebih kurang separuh masa pertama perlawanan bola sepak saja. Sebelah petangnya siap ambil cuti untuk terapi minda.

Balik rumah tengok member dah tergolek demam.

Aku tak risau sangat kalau aku yang sakit, aku boleh lepak-baring-layan perasaan. Selera makan ON saja. Tapi kalau sang arjuna sakit, aku pulak yang jadi tak keruan. Rasa macam peranakan turunlah, rasa macam sakit bengkak hati, batu hempedu, demam urat-segala macam rasa. Kencing pun rasa tak berapa nak lawas.

'Nak mama'...ayat standard beliau tengah sakit. Tapi kalau beliau tengah tak sakit, aku tau beliau nak mama juga.

Aku telefon mak. Biasalah. Syahdu-syahdu, sedih-sedih cari mak. Bila duduk bersenang-lenang, makan sepanjang hari, tengah ketawa berdekah-dekah, langsung tak terlintas bayang mak. Anak hapa!

Teringat bagaimana mak menjaga arwah ayah-sepanjang ayah sakit. Penuh keikhlasan. Manis je muka mak. Tak pernah merungut dan buat muka kelat macam aku kalau time anak-anak mintak makan di tengah malam. Mak sentiasa di sisi ayah. Padahal mak lebih berkerjaya dari aku 14 kali ganda.Dulu aku malas nak memahami perasaan orang sakit. Yang aku tau dan realize, orang tengah sakit, suka marah-marah. Bentak-bentak kalau lambat sikit dapat apa-apa yang dia mintak. Aku tak paham macam mana mak boleh tahan dengan 'baran' ayah.

Aku ni misi (nurse) yang garang, ayah merungut. Nenas tak boleh, anggur kena pantang, air gas bahaya, makanan berminyak nanti sakit dada. Tapi di sebalik pantang-larang aku tu, aku bukannya sepenuh jiwa sangat menjaga ayah. Konon-konon dari pembacaan akulah semua tu-orang sakit macam ayah kena berpantang makan. Bukan itu yang ayah mahukan.

Balik dari kantin, mak terus terpa ayah. Masak untuk ayah, buat itu ini untuk ayah. Ibaratnya kaki tak jejak tanah. Sebab itulah, aku, Cikgu Azimah dan Cichik jangan cari pasal buat-buat tak hormat pada suami. Mesti kena dengan mak punya.

Pantang mak kalau sampai suami cari air minum sendiri, cari makanan sendiri kat dapur. Semua kena hidang, kena manjakan suami. Kena layan suami baik-baik. Erk!


Aku banyak belajar dari mak. Aku nampak kasih sayang mak yang dipindahkan dari sudu ke sudu susu suam yang disuap ke mulut ayah. Aku terkenang kudusnya cinta mak melalui suapan nasi untuk ayah, walaupun kadang-kadang tiada sesuappun yang ayah telan. Patutlah ayah sanggup memilih hidup tanpa harta demi mak.


Suara-suara itu : Kata banyak belajar dengan mak. Pergilah picit-picit badan suami kamu tu. Usap dia dengan kasih sayang. Ini tidak, sibuk menulis blog. Isteri hapa!

Thursday, June 3, 2010

Jentu Kering

Tangan meramas jentu kering
Jika boleh dibuat penawar
Alahai berontak jiwa
Mudah gelodak
Kecamuk.

Rasa bagaimana yang diimpi
wang penuh 14 kendil?
cantik manis yang merah pipinyakah?
nikmat ketupat palas yang cukup lemaknya?

Aku perlu bimbang.

Bila buih teh tarik tidak lagi terasa nikmatnya
Tidur kurang jerab
Sonatapun sudah sumbang di telinga

Aku, kau kena ingat mati. Lebih kerap.

Tuesday, June 1, 2010

Deskripsi Gambar- Rumah Kecil Di Tepi Sawah


















Gunung Dayang Bunting dijadikan latar dalam gambar. Walau bagaimanapun tasiknya tidak dimasukkan sekali dalam gambar. Matahari yang kemungkinan pada masa itu berada pada jam 7.10 pagi waktu tempatan dan sesuai untuk orang-orang yang bersolat subuh gajah. Seperti biasa matahari akan naik di celah bukit yang ke dua dan dipercayai di sebelah perut dayang bunting. Sawah padi yang tertera dalam gambar pula dirakam di negeri sebelah utara Malaysia. Tiada papan tanda yang tertulis ini lagi lagi dan lagi projek oleh Bahang Neraka, menyukarkan penulis untuk mengenal pasti lokasi sebenar lanskap ini dirakam. Juga tiada tanda-tanda gambar ini disnap di Bandung. Ini kerana pada saat gambar ini dirakam, jurugambar belum ada paspot antarabangsa, yang ada cuma paspot Singapore, itupun paspot kelompok semasa kali terakhir jurugambar mengikuti LASBELA ke Singapore untuk membeli buah laici dan kain tuala $10 tiga helai.

Oh ya, penulis terlupa tentang padi-padi yang ditanam dalam lot sawah tersebut. Teknik kuku kambing yang digunakan untuk menanam padi seperti yang dijangka mengakibat padi-padi itu tumbuh jarang-jarang. Kemungkinan sedepa satu. Tiada imej 3 dimensi juga menyukarkan penulis untuk mengulas dengan lebih tepat.

Hah! Penulis memang tak sabar-sabar ingin mengulas lanjut berkenaan rumah di tepi sawah itu. Rumah pusaka tinggalan bapa pemilik yang menjadi rebutan pemilik 5 beradik nyaris-nyaris dirobohkan. Alang-alang berebut biar berbagi papan serta paku. Dapatlah barang 14 keping papan dan segenggam paku karat seorang di kalangan adik beradik pemilik. Rumah tidak bernombor itu juga rasanya tidak mendapat liputan perkhidmatan Indah Water Konsortium untuk urusan dan jalan penyelesaian bagi masalah kumbahan dan sisa buangan. Jadi tidak mustahil sisa kumbahan disalurkan terus ke Empangan Kenyir.

Bapa pemilik bercadang untuk menukar tangga kayu itu kepada tangga batu seperti rumah-rumah di Melaka. Cadangan tersebut tertangguh kerana tukang rumah sibuk dengan projek menaiktaraf rumah peneroka FELDA dengan kos sebanyak RM40,000 walaupun rumah yang telah siap nampaknya seperti berharga RM5,000 sahaja atau lebih tepat sama seperti stor penulis pada zaman penulis menjadi kaya nanti. Itu penulis tidak mahu komen apa-apa dan biarlah sekali-sekala penulis berprasangka baik kerana wang-wang itu mungkin telah disedekahkan kepada rumah anak-anak yatim di sekitar Kampung New Zealand Maran.

Penulis memohon agar pembaca tidak tersalah anggap pada tiang rumah bapa pemilik tadi. Tiang tersebut terpaksa dialas dengan bata untuk mendapatkan rumah yang tinggi sedikit agar dapat menyerlahkan unsur-unsur elegan. Ini juga boleh menyelamatkan tiang rumah dihurung semut. (Penulis beranggapan bahawa pemilik rumah ini menggunapakai konsep meletakkan bekas berisi air di kaki meja makan untuk mengelakkan semut menghurung makanan di atas meja makan tadi- so samalah)

Berkenaan langsir rumah tersebut, ermm penulis tidak berapa pasti sama ada dibeli di Nilai 3 ataupun SSF Curtain. Teknik jahitan juga berkemungkinan adalah pencil pleat dan bukannya Eyelet seperti kesukaan penulis.

Pokok kelapa di sebelah rumah tersebut bakal ditebang sekiranya ada adik beradik pemilik yang akan melangsungkan perkahwinan. Semata-mata untuk mengambil umbut kelapa untuk dibuat acar masak mahupun mentah. Resipi masakan umbut boleh gugel di blog Cik Mat Gebu ataupun sms saja pada Che Un untuk resipi masakan umbut versi Gunung Senyum.

Penulis dah tak rela dikutuk berlebih-lebihan jadi penulis tidak bercadang untuk menghantar artikel ini ke majalah Pancing untuk memenangi hadiah berupa stok mata kail yang mampu menawan ikan secara 3 penjuru.


p/s lukisan sebegini yang selalu aku lukis masa sekolah rendah. Asal kena lukis pemandangan, macam nilah aku lukis. Walaupun di kampung aku tak ada sawah padi, tapi bila membayangkan sawah atau bendang yang luas saujana mata memandang boleh juga mengubat hati yang lara.

Semalam aku terasa nak lakarkan semula gambar ni. Masa aku lukis dulu, rasanya inilah lukisan yang paling damai dan tenang.Bila aku lukis semula ni, nampak gayanya macam sama dengan versi masa aku kecik-kecik dulu. Nampak sangat skil melukis aku tidak berkembang dan masih di takuk lama.
Powered By Blogger