Pages

Sunday, August 15, 2010

Ramadhan Ku Part 2

Kenapa Ramadhan begitu meninggalkan nostalgia pada semua? Sangat berbekas dalam hati. Bulan Ramadhan banyak perkara yang syahdu-syahdu. Kalau berlaku dalam bulan Ramadhan, yang lucu pun bila diceritakan balik akan jadi pilu.

Hari ini dah 6 Ramadhan. Baru sedap sikit nak cerita. Nak kata mood raya dah datangpun munasabah dah. Tapi Ramadhan tahun ini, aku sedikit pelik kerana kebiasaannya pada tahun-tahun yang lepas, hampir setiap hari aku menelefon mak. Ini baru sekali aku call mak, itupun biasalah sebab nak confirmkan (mintak ajar) resipi bingka. Aku dah putus susu agaknya. Aku dah dewasa tanpa aku sedar.

Aku teringat Ramadhan yang mana aku ambil tempahan menjahit lapik meja ropol-ropol macam gaun anak keling. Gila ah lenguh kaki mengayuh mesin jahit yang tanpa letrik tu. RM90 satu set. Hasilnya? Itulah yang aku buat masuk UUM tu. Yang kena bayar permulaan RM900 lebih kalau tak silap.

Pada usia 20 tahun, aku rasa aku perlu galas tanggungjawab itu sendiri. Aku tak mahu mak ayah menangis. Aku bimbang mereka sedih macam dalam cerita drama yang terpaksa bergadai sawah bendang untuk menguniversitikan anak-yang akhirnya anak menjadi durhaka dan durjana.

Aku-bila aku mahukan sesuatu-aku usahakan-aku tak dapat-aku menangis-bila aku dapatpun aku akan menangis. Kes menangis aku kali ni kerana aku berjaya membantu ayah mak, walaupun ukurannya tidak akan sama dengan kasih-sayang mereka.

Lagi, aku terkenang Ramadhan yang dulu. Aku bantu mak buat bahulu, beratus-ratus biji telur sehari. Aku jadi dayang tepi kolam, mahu jemur tepung. Adik lelaki (arwah) akan kepuk telur dengan gula dalam tempayan air basuh kaki. Sambil kepuk sambil sebut reket-reket-reket.Haha kelakar sebab dia target nak beli reket badminton KALAU mak bagi upah kepuk bahulu tu.

Mana kakak? Dia sekolah jauh, cuti sabtu ahad mana boleh balik kampung. Mana adik-adik yang lain tak bantu mak? Adik-adik sibuk main pasir, masak tanah. Mujur tak jatuh dalam telaga.

Mak handle oven sabut 8 biji sekali gus. Gila cekap mak aku. Lipas kudungpun akan ternganga melihat ketangkasan mak bermain api.

Sebab tu kalau tak jadi pembuat bahulu, mak mungkin tangkas bermain badminton ataupun bekerja dengan sarkis-tukang pasang api.

Aku paling rindu part mencungkil bahulu yang sudah masak gebu dan sangat harum itu dengan lidi.

Aku terbayang-bayang Ramadhan lepas-lepas. Ayah sibuk di kedai guntingnya. Semua orang mahu berambut stail baru di hari raya. Aku tukang sapu rambut yang bersepah-sepah. Uban, rambut berminyak-minyak cap Jamilah, mungkin rambut berkutu, eii geli! Masa tu teknologi rebonding masih belum ada. Tapi teknologi kerusi gunting yang boleh adjust bagi turun-naik macam katil hospital dah ada. Itupun sebab ayah buat sendiri. Nak harapkan persatuan tukang gunting, presidenpun belum ada calon.

Ramadhan ini akan jadi kenangan juga bila ditinggalkan bertahun-tahun dari sekarang. Yang pasti kerinduan itu takkan hilang. Yang sendu. Yang pilu tapi membahagiakan.

4 comments:

Anonymous said...

tak sebutpun ramadhan kat UUM...duit tong-tong sebab nak jimat...

Chah said...

ramadhan kat UUM citer tahun lepas...sila baca Ramadhanku part 1...:)

Azhar Omar said...

Chah, tq sebab kembalikan memory Ramadhan masa kat kampung. Aku buleh bayangkan time masak kuih baulu tu. Aku pong kena tlg gak dulu2. huhuhu

Idi said...

Nostalgic!Thanks Chah!