Pages

Sunday, November 29, 2009

Berkorban Apa Saja

Ini juga entri emosional.

Untuk rekod, beberapa hari lepas adalah Hari Raya Aidil Adha. Menyelongkar sejarah, ada anak yang dikorbankan demi kecintaan pada Pencipta. Adakah pengorbanan itu berbayar? Cukup ikhlaskah pengorbanan itu?

Aku tidak layak untuk persoalkan kisah pengorbanan itu. Kerana ianya kemuncak segala pengorbanan. Apa yang aku patut persoalkan adalah pengorbanan aku. Rasanya aku pernah berkorban. Berbayarkah ia? Cukup ikhlaskah aku?

Antara jahitan perca-perca kain yang diisi dengan kekabu yang penuh bijinya dan dipanggil bantal. Atau bantal mahal yang lembut gebu disaluti sutera wangi, kononnya dibuat dari himpunan bulu angsa terpilih. Jika bantal kekabu berbiji dan bantal sutera mewah yang perlu aku pilih untuk meleraikan sebuah ikatan persahabatan, aku lebih rela tidur berbantalkan lengan. Aku tak sanggup memilih mana-mana bantal yang bisa mengubah status kawan kepada lawan. Heyy! Aku orang yang bertahi lalat di pipi, seorang yang pengasih dan penyayang tau! Aku teringin juga untuk menguji sejauh mana kesanggupan aku untuk berkorban demi sahabat.

Apa pengorbanan yang aku sanggup lakukan untuk seorang mak? Aku masih memikirkan perkara ini. Aku sedikit membentak bila mak ‘paksa’ aku untuk mengusahakan tanah aku yang luasnya cuma sekangkang Annur Wafiy. Aku mempunyai perancangan yang ‘rapi’ untuk membiarkan tanah itu bersendirian tanpa diganggu-gugat dengan pembangunan demi pembangunan. Biarlah koloni-koloni semut bermaharajalela tanpa gangguan. Mungkin sang gajah juga berminat untuk menumpang teduh di tanah secoet tu. Aku turutkan juga kehendak mak dengan hati yang pada mulanya separa ikhlas.

Itu baru pengorbanan dua ribu ringgit Malaysia. Tak sampai dua jam aku boleh habiskan jumlah itu, malah lebih tanpa secalit perasaan gundah.
Bagaimana jika mak menuntut agar aku menghabiskan sepenuh masa untuk membasuh berak keringnya (maaf), hancing kencing tatkala dia tidak berdaya kerana ujian Tuhan yang mahu dia terlantar sakit? Kalau lebih dahsyat dari itu? Aku jadi gusar. Sedangkan sekarangpun aku masih on-off , lupa, tak dan atau apa-apalah alasan aku untuk membeli ubat sakit lututnya atau susu Anlene coklatnya. Cuma aku takkan ragu memetik butang transfer fund jika berapa-berapa yang mak mintak (walaupun rekod mak minta duit adalah sifar). Aku sanggup berkorban wang ringgit sahaja? Aku impikan anak yang baik-baik tapi adakah aku cukup baik untuk mak?

Aku masih belum terlambat. Belum tertinggal apa-apa. Itu cuma kemungkinan yang merisaukan aku. Si tanggang atau Malin Kundang bersepah ada di mana-mana. Aku takut jadi sebahagian dari statistik itu.

Aku jadi rindu kat mak!

0 comments:

Powered By Blogger